,

Adakah Kita Termasuk Dalam Sebaik-baik Ummah?

Kerap kali kita mendengar ungkapan ‘sebaik-baik ummah’, di media sosial, di sudut-sudut bacaan di sekolah, di papan-papan tanda di tepi jalan.

Namun, pernahkah kita terfikir apa sebenar yang dimaksudkan dengan ungkapan ini?

Adakah ia bermaksud kita adalah ummah yang paling kuat dari segi fizikal? Adakah kita ummah yang paling maju dari segi ekonomi ataupun intelek? Adakah kita ummah yang ditakdirkan untuk menguasai negara-negara yang lain?

Ya, semua yang disebut di atas mungkin ada juga benarnya, kita adalah ummah paling unggul dalam setiap perkara.

Namun, adakah cukup dengan mempunyai kekuatan ketenteraan yang digeruni musuh dan mempunyai bandar-bandar yang maju?

Bagaimana pula dengan kerohanian masyarakat tersebut? Tidakkah ia juga penting dalam pembentukan sesebuah tamadun?

Menurut ahli sejarawan Barat, kemajuan sesebuah tamadun itu diukur melalui kecanggihan teknologi yang diguna pakai oleh negara tersebut, juga kemajuan dari sudut intelektual, juga kemajuan binaan-binaan di sesebuah negara itu.

Namun berdasarkan pendapat sejarawan Islam, kemajuan sesebuah tamadun itu juga diukur dari segi keluhuran akhlak dan moral sesebuah masyarakat itu sendiri di samping kemajuan yang disebut di atas tadi.

Namun tidaklah ingin bercakap mengenai ketamadunan ataupun hal-hal yang berkaitan dengan sejarah. Apa yang saya ingin fokuskan di sini adalah bagaimana konsep ummah yang terpilih ini.

Kita, umat Islam adalah contoh kepada umat-umat yang lain. Kita menjadi panduan dan memimpin umat-umat yang lain. Kita menjadi khalifah Allah yang sebenar-benarnya di atas muka bumi ini.

Ingatkah lagi kita pada zaman kegemilangan Islam dahulu kala? Zaman di mana Islam itu merangkumi dua pertiga dunia.

Zaman di mana Islam amat digeruni oleh empayar-empayar yang lain. Zaman di mana Kota Baghdad menjadi pusat kegiatan ilmu, pusat pertemuan golongan-golongan ilmuwan. Zaman di mana syiar Islam menyubur di bumi Eropah seperti Sepanyol dan juga Afrika.

Persoalannya,di manakah kedudukan umat Islam sekarang? Adakah masih gah seperti dulu?

Bukanlah ingin menjatuhkan maruah Islam, namun pernahkah kita terfikir betapa indahnya saat kegemilangan tersebut? Pernahkah terdetik dalam hati kita untuk melihat Islam kembali bersinar seperti dahulu?

Sudah tentu setiap daripada kita mahu impian ini direalisasikan. Namun, adakah impian ini sekadar mimpi di siang hari?

Apa yang telah kita lakukan untuk merealisasikan hasrat ini? Apa yang kita buat hari ini? Adakah kita sudah menunaikan tugas kita sebagai muslim?

Berapa jam kita luangkan dalam sehari untuk membaca Al-Quran? Bagaimana pula dengan banyak manakah masa yang telah kita bazirkan dengan melayari media sosial dan sebagainya?

Belum lagi disertakan sekali dengan betapa teruknya gejala sosial yang melanda golongan remaja pada hari ini.

Jikalau dahulunya, golongan ini sinonim dengan perkataan zina dan anak luar nikah. Hari ini muncul pula penyakit baharu iaitu LGBT.

Anak-anak muda tanpa segan silunya memuat naik video-video yang berunsurkan penyakit ini di laman-laman sosial. Keadaan umat Islam sekarang ini amatlah serius.

Warkah ini bukanlah ingin membahaskan panjang lebar mengenai masalah yang menimpa umat Islam, namun perlulah diingatkan kepada setiap yang mengaku dirinya sebagai Muslim agar sedar.

Kesedaran inilah yang perlu dipupuk dalam kalangan anak muda. Hal ini adalah kerana merekalah golongan yang bakal memegang tampuk pimpinan negara kita suatu hari nanti.

Pemuda adalah asas kekuatan sesebah negara itu. Oleh itu, kita perlu bangkit dalam memberi kesedaran kepada mereka, kerana kita adalah sebaik-baik ummah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Amin Khazain.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.