,

Adakah Aku Sedar Akan Erti Hidupku?

Kehidupan di dunia ini hanya sebuah persinggahan. Dunia ini merupakan kesempatan untuk kita menabur jasa dan beribadat kepada Sang Pencipta.

Kita kerap kali alpa dan leka pada keindahan dunia. Bukankah kita ini hanya seorang hamba?

“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu yang kamu hendak dustakan?” (Surah Ar-Rahman : Ayat 16)

Dunia ini merupakan ciptaan terindah daripada Allah Yang Maha Kuasa. Keindahan dunia pada pandangan sang pencinta melebihi segala.

Penuh manis gula sedangkan di dalam dunia ini terdapat pelbagai rencah perisa dengan rasa dan warna yang berbeza.

Tanpa kita sedar, kita tertipu dan terpedaya dengan nikmat yang seketika. Racun dan penawar berpisah tiada.

Begitu juga kehidupan dan kematian. Seiring ia dalam lintasan hayat bagi setiap kehidupan mereka yang bernyawa.

Kenikmatan dunia boleh menyebabkan manusia tertewas andai keimanan setipis kulit bawang. Iman seseorang hamba itu tidak tetap pada satu-satu keadaan. Turun naik tahap keimanan insan bergantung pada ketaqwaan hambaNya.

Semoga Allah terus hadirkan rasa keinsafan dalam diri kita untuk terus berjuang menuju syurga idaman semua.

Hanya doa kudus dan pengharapan kepada Sang Pencipta menjadi bekalan untuk kita sebagai hambaNya menggapai nikmat halawatul iman.

Sedar atau tidak, masa itu tidak pernah menunggu kita. Sama ada kita yang mengejarnya atau masa yang akan memintas kita.

Pepatah Arab ada mengatakan, ‘Masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya, maka ia akan memotong kita.’

Walau kita enggan mengakui dan menerima hakikat bahawa kematian itu pasti akan menjengah, minda sedar kita dapat membuka mata hati untuk menyedari hakikat kehidupan ini.

Kematian bukan penghujung sebuah kehidupan. Tetapi, ia permulaan bagi sebuah perjalanan panjang menuju hari pembalasan.

Sejauh mana sekalipun kita cuba untuk lari daripada menghadapi kematian, sesungguhnya semua itu hanya sia-sia.

Hal ini adalah kerana saat kematian itu pasti akan menjengah tanpa dapat kita hindari. Kematian hadir tidak pernah terlewat dari tarikh dan detiknya.

Sebelum saat itu tiba, bekalan untuk ke sana perlu kita sedia. Seandainya kelekaan kita pada keindahan dunia ini terus berlanjutan, tiada siapa mampu lakukan sekatan.

Bukan mudah untuk meyakinkan hati bahawa kenikmatan yang kita nikmati ini tiada abadi.

Sampai ketika, semua nikmat dan keindahan di dunia ini akan pudar dan berlalu seiring dengan perubahan waktu.

Hitungan amal dan kebajikan, dosa dan pahala, sekecil zarah sekalipun tetap ia dihitung. Ayuh saudaraku sekalian, kita teruskan perjuangan.

Hidup ini sebagai medan ujian. Pahatkan di jiwa, syurga itu rumah kita, Allah Maha Kuasa, Rasulullah kekasih kita selamanya.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Norihan binti Mohd Zin. Berkelulusan Sarjana Muda Sains (Gunaan Perikanan) dari UMT. Kini, sedang berkhidmat sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) N19.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.