, ,

Jika Dulu Aku Berputus Asa, Pasti Sekarang Aku Tidak Berada Di Sini

Tik… tok… tik… tok… tik… tok…

Bunyi jam berdetik menandakan masa terus berjalan. Biarpun masih kusedari setiap saat begitu pantas berlalu namun aku masih bersandar di dinding kamar, merenung siling yang kosong malah putih bersih di satu sudut kamarku.

Aku melepaskan keluhan. Terasa dalam kamus hidupku saat ini bagai tiada istilah istirehat. Siang dan malam bagaikan tiada bezanya. Gelap dan terang langit juga sudah tidak kelihatan pada pandanganku.

Aku mengalihkan pandangan ke atas meja. Buku, alat tulis dan komputer ribaku masih tidak terusik. Bukan tidak mahu untuk aku melaksanakan amanah besar itu tapi hati ini merintih pilu, mengadu sakit menanti saat untuk semua ini berakhir.

Aku bangkit. Mencapai tuala lantas meluru ke bilik air. Tiada lagi pilihan yang aku ada selain membersihkan diri untuk menyegarkan kembali minda yang telah penat bekerja seharian.

Seusai mandi, aku menyiapkan diri untuk menjamu makan malam serta solat Maghrib dan Isyak berjemaah.

Jam menunjukkan pukul sembilan malam. Sungguh pantas masa berlalu! Baru sebentar tadi aku melayan perasaan sekitar jam enam petang dan kini aku sudah terduduk di hadapan meja belajarku.

Aku memegang kulit buku kimia di atas meja. Belum sempat aku membukanya, air mataku menitis. Aku melihat teman-temanku yang sangat tekun belajar sehingga larut malam.

Tapi, aku tidak mampu. Mataku letih apabila tengah malam menjelma. Tiba-tiba telefonku berdering. “Oh tidak,” keluhku.

Nama Along tertera di skrin telefon bimbitku. Aku terus menjawab panggilan itu walaupun aku tahu esakanku pasti jelas didengari olehnya.

“Assalamualaikum, Angah!” Sapa Along.

“Waalaikumussalam Along. Along sihat?” Tanyaku dengan suara serak basah memulakan bicara dan Along sudah dapat meneka ada sesuatu yang tidak kena.

“Angah okey tak?” Aku terdiam. Mengambil masa untuk melegakan suaraku.

“Along, Angah takut.”

“Heh? Angah takut apa?” Tanya Along penuh kehairanan.

“Angah takut kalau usaha Angah selama ni tak cukup lagi. Angah tengok orang lain semua lagi rajin daripada Angah. Tapi Angah rasa Angah dah cuba,” jelasku kepadanya.

“Kenapa Angah cakap macam tu?” Along masih hairan.

“Yalah, bukankah Allah akan memberi balasan kepada seseorang itu setimpal dengan apa yang diusahakannya? Kawan-kawan Angah ramai yang stay up, tapi Angah tak mampu tidur lambat. Nanti Angah bangun lambat. Tapi Angah pun nak study. Nanti Allah tak nampak usaha Angah.”

Ada sedikit tawa di hujung bicaranya. “Angah, apa Angah cakap ni. Angah tahu tak Allah tu siapa?

Aku tersentap. “Allah tu… Tuhan kita lah.” Ada nada serba salah di sebalik jawapanku.

“Betul, kalau Allah tu Tuhan, maksudnya siapa Dia pada Angah?” Apa yang Along nak sampaikan sebenarnya?

“Allah tu… Pencipta kita?”

“Haaa pandai pun adik abang. Kalau Allah tu Pencipta kita, mestilah Dia tahu batasan dan tahap kemampuan kita, betul tak? Lagipun, dalam ayat terakhir surah Al-Baqarah, Allah ada berfirman, Allah takkan membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Angah tak perlulah risau. Takut dan berdebar itu lumrah manusia, semua orang ada perasaan sebegitu lebih-lebih lagi pelajar macam kita yang akan menduduki peperiksaan.” Jelas Along panjang lebar, cuba meredakan resah hatiku.

“Ya, Angah tahu, Allah takkan uji lebih-lebih. Tapi kadang-kadang Angah penat,” balasku pada Along.

Benar, penat yang aku rasakan bagaikan tiada kesudahan. Peritnya berjihad di jalan Allah ini hanya Dia yang tahu.

“Angah jangan risau, segala penat lelah Angah tu pasti ada ganjarannya. Nothing worth having comes easy, alright sister? Hang in there, Allah will always be by your side.”

Aku mengangguk perlahan. Air mataku makin deras mengalir. Selepas menyambung perbualan untuk beberapa minit, Along menamatkan panggilan.

Ya, pasti ada ganjarannya nanti. Dan Dia tak akan meninggalkanku sendiri, pasti.

******

Musim peperiksaan semakin hampir. Namun aku berpendapat, sesi mengulang kajiku bagaikan tiada musim.

Sejak hari pertama aku menjejakkan kaki ke kolej ini, menelaah itu merupakan perkara wajib setiap hari. Tiada alasan untuk meninggalkannya walau sehari.

Apa yang kami fikir hanyalah keputusan peperiksaan akhir nanti. Ini bukan hanya soal menggembirakan hati ibu bapa, malah keputusan ujian nanti perlulah memenuhi syarat kemasukan ijazah sarjana muda universiti serta syarat penaja biasiswa kami.

Siang malam aku memikirkannya. Mampukah aku untuk melepasi syarat-syarat yang telah ditetapkan? Kuatkah aku menghadapi ujian yang Allah berikan padaku nanti?

Terngiang-ngiang kata-kata seorang senior di kolejku dalam liqa’ Al-Mulk tempoh hari. “Allah itu menurut sangkaan hamba-Nya. Oleh sebab itulah kita sebagai hamba, perlu sentiasa bersangka baik dengan Allah. Yakin dengan segala ketentuanNya. Yakin yang Dia akan berikan yang terbaik. Yakin bahawa Allah Maha Pemurah malah begitu kasih terhadap hamba-Nya. InshaAllah Dia akan sentiasa menolong hamba-hambaNya.”

Ada senyuman terukir di wajahku. Just do our best and let Allah do the rest.

Study week berbaki tiga minggu sebelum peperiksaan bermula. Pelajar-pelajar kolejku makin tekun menuntut ilmu dan mengulang kaji. Solat hajat dan bacaan Yasin juga makin kerap dianjurkan oleh ahli jawatankuasa surau kolej.

Keseimbangan dunia dan akhirat sentiasa menjadi topik utama yang dibicarakan apabila musim ujian menjelma. Apa tidaknya, sebanyak mana pun usaha kita, yang menurunkan rezeki itu masih Dia yang Maha Esa.

Waktu sebegini biasanya dipanggil waktu kritikal untuk menjaga hubungan dengan orang di sekeliling kita, sama ada ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan, staf-staf kolej dan yang paling penting hubungan dengan Pencipta diri ini.

Aku duduk bersila di lantai. Memandang buku di sebelah kiri manakala al-Quran di sebelah kananku. Aku harus menjaga kedua-duanya sebaik mungkin. Aku harus berlaku adil terhadap kedua-duanya setiap masa.

Tiba-tiba aku terfikir akan nasibku jika terpaksa membayar semula semua yuran pengajianku jika keputusan ujianku tidak memuaskan. Gelisah aku memikirkan nasib kedua ibu bapaku yang harus membanting tulang untuk mencari rezeki dan mendapatkan wang untuk kami sekeluarga.

Aku berdoa perkara demikian tidak terjadi. Ya Allah, sungguh aku mengharapkan yang terbaik daripada-Mu. Aku membuka Quranku.

Mataku tertancap pada sepotong ayat tulisan tangan di atas kertas yang terselit di dalam naskhah itu. “Al-Qur’an itu kaya. Tidak akan miskin orang yang sentiasa bersama dengan al-Quran.”

Mataku berkaca. Air mataku mengalir lagi. Ya Allah, sejauh manakah keyakinanku selama ini terhadap al-Quran? Sejauh manakah keimananku selama ini terhadapmu, ya Allah?

Aku memeluk erat naskhah itu. Dalam hati aku berbisik ‘Terima kasih ya Allah kerana sentiasa meniupkan semangat dalam jiwaku. Maafkan aku yang selalu terlupa akan rahmat dan kasih sayang-Mu.’

******

Tok tok tok…

Bunyi ketukan di pintu memecah lamunanku. “Masuk,” jawabku ringkas.

“Inspektor, kita ada kes hari ini. Nampak rumit juga. Bingung saya membacanya,” kata Encik Syuib menghulurkan sekeping fail nipis berwarna coklat.

Saya tersenyum. “Mana ada benda senang dalam dunia ni, Encik Syuib. Semua perkara ada saja cabarannya.” Ada tawa kecil di hujung jawapanku, sedikit bergurau dengan rakan sekerjaku itu.

“Hahahaha, baiklah inspektor. Kalau begitu saya ingin memberi ruang untuk inspektor mengamati dulu fail kes itu. Kalau ada apa-apa yang diperlukan, saya akan berada di tempat duduk saya,” katanya lembut.

“Baik Syuib, terima kasih,” balasku dengan senyuman.

Allah tidak pernah menjanjikan kehidupan di dunia itu sesuatu yang mudah, Allah hanya menjanjikan bahawa Dia akan bersama dengan orang-orang yang sabar.

Tanpa kekuatan dan kemampuan yang Allah berikan kepadaku untuk mempertahankan semangat jihadku ketika menuntut ilmu dahulu, pasti aku tidak memakai sarung tangan getah dan membawa beg plastik dan ‘forceps‘ di mana saja aku berada setiap kali ada panggilan untuk khidmat unit forensik kami.

Maka ingatlah wahai sahabat, Allah ada berfirman dalam surah az-Zumar, “Jangan berputus asa dengan rahmat Allah,” kerana rahmat-Nya terlalu luas malah tak terhitung nilainya.

Langit memang tidak selalu cerah, namun sinaran-Nya itu sesuatu yang pasti, bagi hamba-Nya yang sentiasa mengharapkan pertolongan Yang Maha Kuasa.

Thank You Allah, I can see You illuminating my skies.

Indeed, with hardship there will be ease.” (As-Syarh, 94:6)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Hamizah binti Afandi. Berasal dari Kemaman, Terengganu.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.

What do you think?

11 points
Upvote Downvote

Total votes: 25

Upvotes: 18

Upvotes percentage: 72.000000%

Downvotes: 7

Downvotes percentage: 28.000000%