Ketika Rasulullah sampai ke Madinah, Zaid dibawa untuk bertemu Rasulullah lalu para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, anak ini berasal dari Bani An-Najjar. Dia memiliki tulisan beberapa surah dari (Al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu.” Rasulullah berasa kagum, maka beliau berkata: “Wahai Zaid, belajarlah tulisan yahudi untukku. Sesungguhnya aku tidak percaya pada tulisan orang-orang Yahudi.
Kata Zaid: “Maka saya mempelajari tulisan Yahudi untuk Rasulullah. Tidak sampai lima belas malam lamanya hingga saya memahaminya dengan pemahaman yang mendalam. Saya membacakan surat-surat orang Yahudi untuk Rasulullah dan memberikan jawapannya kepada mereka.”
Secara tidak langsung, penterjemah memiliki kedudukan yang tinggi dalam sesebuah negara. Sebab apa? Sebab penterjemah yang tahu rahsia-rahsia negara yang datang melalui surat daripada bahasa yang berbeza.
Tidak semua orang dapat melihat atau membaca surat-surat dari negara lain supaya negara tidak menjadi kacau bilau dan rahsia tidak terbuka kepada umum.
Zaid bin Tsabit membuktikan kecerdasan fikiran dan kuat hafalannya apabila mampu mempelajari bahasa yahudi selama lima belas hari saja. Zaid juga termasuk dalam salah seorang sahabat yang hafal Al-Quran dan penulisan Al-Quran pada zaman Rasulullah.
Khidmat Zaid diteruskan ketika zaman pemerintahan Abu Bakar dan Uthman apabila dia menjadi petugas penulisan Al-Quran.
Antara pengajaran yang boleh kita pelajari adalah Islam menganjurkan untuk mempelajari bahasa dan tulisan kaum lain, tahu ilmu pengetahuan mereka sekiranya perkara itu diperlukan untuk kebaikan Islam.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)