Perang yahudi bani An-nadhir terjadi selepas perang Uhud. Ada beberapa sebab kenapa Rasulullah memerangi yahudi bani An-nadhir, antaranya:
- Yahudi bani An-nadhir membatalkan perjanjian yang disepakati
Mereka tidak lagi memberikan bantuan kepada kaum muslimin untuk melawan musuh Islam, malah mereka menunjukkan titik-titik kelemahan di Madinah kepada pihak musuh Islam.
Buktinya, ketika perang As-Sawiq, Abu Sufyan bin Harb ingin membalas dendam atas kekalahan musyrikin dalam perang Badar. Ketika pasukan musyrikin kira-kira dua ratus orang menuju Madinah, Salam bin Misykam iaitu pemimpin yahudi bani An-nadhir menyambut pasukan musyrikin malah memberi maklumat tentang kaum muslimin.
- Usaha percubaan pembunuhan terhadap Rasulullah
Rasulullah dan para sahabat melalui jalan Quba’ menuju ke negeri bani An-nadhir untuk meminta mereka membayar tebusan (diyat) atas pembunuhan dua orang bani Amir, kerana sebelum ini sudah ada perjanjian antara bani Amir dan bani An-nadhir.
Ketika Rasulullah berada di kawasan bani An-nadhir, mereka merancang untuk melakukan tipu daya kepada Baginda, iaitu dengan cara menimpakan batu besar kepada Rasulullah dari atas dinding dekat Baginda berada.
Namun, Allah melindungi Rasulullah, datang berita dari langit tentang kejahatan yang akan mereka lakukan, maka Baginda segera bangun dan bergerak cepat ke Madinah, diikuti para sahabat yang lain.
Disebabkan itu, Rasulullah segera menyusun strategi untuk memerangi yahudi bani An-nadhir yang telah mengkhianati perjanjian dengan Rasulullah.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)