, ,

Kelahiran Hasan Bin Ali, Cucu Rasulullah

Hasan bin Ali lahir pada bulan Sya’ban tahun ke-4 hijrah, sedangkan Husain pula lahir kurang setahun daripada kelahiran Hasan.

Dalam riwayat Al-Waqidi ada dinyatakan bahawa Fatimah merawat Husain lima puluh malam, yang mana ia terjadi setelah kelahiran Hasan. Imam Nawawi pula dalam kitab At-Tahdzib menyatakan bahawa Hasan dilahirkan pada lima belas Sya’ban tahun ke-4 hijrah.

Ketika awal kelahirannya, Ali bin Abu Talib memberi nama Harb yang bermaksud perang. Namun, Rasulullah menukar namanya iaitu Hasan. Begitulah sikap Baginda yang akan menukar nama-nama yang kurang baik dengan nama yang baik dan indah.

Rasulullah juga mengumandangkan azan di telinga Hasan ketika Fatimah melahirkannya, seperti azan solat.

Abu Rafi’ juga ada bercerita: “Ketika Fatimah melahirkan Hasan, dia berkata: “Apakah saya tidak melaksanakan akikah anak saya?” Rasulullah menjawab: “Tdak, akan tetapi cukurlah rambutnya, kemudian bersedekahlah perak seberat rambutnya, berikan kepada orang-orang miskin dan Al-Aufadh. Al-Aufadh adalah para sahabat Rasulullah yang sangat memerlukan, mereka tinggal di Masjid Nabawi. Al-Aufadh lebih dikenal dengan istilah Ahlu Shuffah. Maka Fatimah melakukan apa yang dianjurkan oleh Rasulullah itu.”

Akan tetapi Rasulullah yang melaksanakan akikah untuk Hasan, Baginda menyembelih dua ekor kambing. Baginda menyatakan: “Setiap anak tergadai oleh akikahnya, hingga disembelihkan untuknya haiwan akikah pada hari ketujuh, kemudian rambutnya dicukur, dan kemudian diberi nama.”

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)