,

Usahawan Muslim Berjaya – Abdul Rahman bin ‘Awf

Kehidupan manusia diuji dengan pelbagai bentuk ujian. Antaranya ujian berbentuk kekayaan dan kemewahan.

Hari ini kita melihat betapa manusia menjadikan kekayaan dan kemewahan sebagai kayu ukur kejayaan dan kebahagiaan. 

Bangga menunjukkan kereta mewah yang baru dibelinya. 

Seronok menunjukkan kediaman yang bagaikan istana itu kepada semua. 

Namun, sebagai umat Islam, bagaimanakah sikap kita?

Ya, sikap kita ialah menganggap semua itu adalah ujian buat kita. 

Apabila sedar bahawa itu adalah ujian, maka kita sudah pasti tahu ia pasti akan lenyap.

Maka, akan lahirlah sikap berpada-pada atau juga disebut sebagai qana’ah.

Adakah Islam melarang umatnya untuk menjadi kaya? Tidak. 

Tetapi apa yang dilarangnya adalah sikap riya’, ‘ujub dan takabbur dengan nikmat kekayaan dan kemewahan yang dipinjamkan itu.

Bangkit Selepas Jatuh

Sebagai seorang Muslim, kita sepatutnya menjadikan para sahabat RA sebagai contoh tauladan dalam kehidupan kita seharian. 

Andai kata kita seorang yang berharta dan kaya, ikonnya tidak lain dan tidak bukan ialah Abdul Rahman bin ‘Awf RA.

Ya, beliau merupakan contoh terbaik buat para usahawan dan ahli perniagaan di luar sana. 

Kekayaan yang dimiliki bukanlah untuk tujuan bermegah-megah bahkan untuk agama Islam jua. 

Buktinya, kita lebih banyak mendengar kisah-kisah kedermawanan beliau dan bagaimana kekayaannya itu disumbangkan untuk agama.

Abdul Rahman bin ‘Awf merupakan seorang ahli perniagaan dan hartawan sejak sebelum beliau memeluk Islam lagi. 

Namun, beliau meninggalkan semua itu dan memilih untuk bersama Nabi Muhammad SAW dan menganut Islam

Walaubagaimanapun, kecenderungan dan minat beliau untuk berniaga masih tetap membara.

Imam al-Dzahabi meriwayat bahawa tatkala Abdul Rahman bin ‘Awf berhijrah ke kota Madinah, beliau menjadi fakir dan tidak memiliki sesuatu apa pun. 

Maka, Rasulullah SAW persaudarakan beliau dengan seorang sahabat Ansar yang bernama Sa’ad bin al-Rabi’. 

Walaupun ditawarkan bantuan, Abdul Rahman bin ‘Awf sebaliknya bertanyakan saudaranya itu tentang lokasi pasar di Madinah. 

Lalu, beliau menuju ke sana kemudian terus memulakan perniagaan sehingga memperoleh hasil yang menguntungkan.

Abdul Rahman bin ‘Awf yang dahulu kaya, kemudian fakir dan kini kembali kaya!

Kekayaan Abdul Rahman

Sejarah mencatatkan kisah kejayaan Abdul Rahman bin ‘Awf ini dengan tinta emas

Kekayaan yang diperolehinya cukup luar biasa. 

Namun, semua itu tetap tidak menjadikan beliau alpa tambahan beliau juga merupakan salah seorang sahabat yang dijamin akan masuk syurga.

Kisah-kisah kekayaan beliau dapat ditelurusi dengan melihat jumlah yang diinfakkan oleh beliau. 

Sebagai contoh, diriwayatkan daripada al-Zuhri, beliau berkata: 

“Abdul Rahman bin ‘Awf telah bersedekah ketika Rasulullah masih hidup sebanyak 4000 dinar."

"Kemudian, beliau bersedekah pula sebanyak 40,000 dinar, 500 ekor kuda untuk fi sabilillah dan juga 500 ekor unta yang sarat dengan muatannya juga untuk fi sabilillah."

"Kesemua hartanya itu adalah hasil daripada perniagaan yang dilakukannya.”

Kehebatannya dalam perniagaan diiktiraf. Sehinggakan Abu ‘Umar bin Abdul Bar berkata: 

“Beliau (Abdul Rahman bin ‘Awf) sangat bagus dalam perniagaan. Beliau meninggalkan 1000 ekor unta, 3000 ekor kambing dan 100 ekor kuda.

"Beliau juga memiliki tanah pertaniah di al-Jurf yang diairi oleh 20 ekor unta.”

Perlu Ada Orang Islam Kaya

Ya, jikalau benar Islam melarang umatnya daripada menjadi kaya dan memiliki banyak harta, sudah tentulah Rasulullah SAW telah melarang sahabatnya Abdul Rahman itu daripada berbuat sedemikian. 

Namun, tidak. Kuncinya adalah terletak pada bagaimana sikap dan cara kita menguruskan harta kekayaan tersebut.

Andai dikurniakan harta dan kekayaan, sikap dan tingkah laku perlulah seperti sahabat nabi ini. 

Begitu juga dengan cara menguruskan harta, gunakanlah demi kebaikan agama dan umat Islam.

Umat Islam perlu ada yang kaya. Perlu ada yang menguasai ekonomi. Barulah agama dan umat ini tidak ditindas.

Mana mungkin zakat dapat dikeluarkan setiap tahun sekiranya tiada seorang pun umat Islam yang berharta.

Apabila berlaku seperti itu, bagaimana pula nasib golongan asnaf yang memerlukan? 

Akhirnya, umat ini akan menjadi hina dan keizzahan Islam itu tidak dapat ditonjolkan.

Justeru, perlu ada sebahagian umat Islam yang menceburi bidang ini. Menggerakkan ekonomi dan memiliki kekayaan. 

Namun, bagi mereka yang dikurniakan semua itu, perlu juga ingat bahawa di setiap harta kekayaan yang dimiliki itu, ada bahagiannya untuk mereka yang memerlukan.

Itulah yang membezakan kita dengan para pengamal kapitalisme.

Rujukan:

Siyar A’lam al-Nubala’ : Imam al-Dzahabi.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%