,

Kisah dan Doa Nabi Syuaib AS

Nabi Syuaib AS merupakan keturunan Nabi Lut AS, dari pihak anaknya yang perempuan. 

Beliau diutus ke negeri Madyan, di perbatasan negeri Syam atau Palestin sekarang. 

Penduduk negeri ini sudah lama meninggalkan ajaran nabi-nabi yang terdahulu dan lupa mengerjakan perintah-perintah agama.

Ketika itu, kaumnya kafir kepada Allah dan melakukan pelbagai kemaksiatan seperti merampas harta manusia yang menandingi mereka. 

Mereka juga menyembah pohon rimbun yang disebut Aikah. 

Mereka bermuamalat dengan buruk sesama manusia, menipu dalam melakukan jual-beli dan mengurangi takat dan timbangan.

Oleh sebab itu, Allah mengutus kepada mereka seorang rasul dari kalangan mereka bernama Nabi Syuaib AS. 

Beliau mengajak mereka beribadah kepada Allah dan tidak berbuat syirik, melarang mereka mengurangi takat dan timbangan, dan melarang melakukan perbuatan buruk yang lain. 

Nabi Syuaib AS berkata kepada mereka:

“Wahai kaumku! Sembahlah Allah SWT, sekali-kali tidak ada Tuhan yang berhak disembah bagimu selain Dia. Sesungguhnya telah datang kepadamu bukti yang nyata dari Tuhanmu, maka sempurnakanlah takaran dan timbangan dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia barang-barang takaran dan timbangannya dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi setelah Allah memperbaikinya. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu betul-betul orang-orang yang beriman. Dan janganlah kamu duduk di setiap jalan dengan menakut-nakuti dan menghalang-halangi orang yang beriman dari jalan Allah dan menginginkan agar jalan Allah itu menjadi bengkok."  

(QS Al-A’raaf: 85)

Demikianlah Nabi Syuaib AS terus berdakwah kepada kaumnya dan menerangkan kebenaran kepada mereka tetapi yang beriman hanya sedikit sahaja, sedangkan sebahagian besar mereka kafir. 

Meskipun begitu, beliau tidak berputus asa terhadap penolakan mereka bahkan tetap sabar mendakwahi mereka dan mengingatkan mereka nikmat-nikmat Allah yang tidak terhingga.

Akan tetapi kaumnya tetap tidak menerima nasihat dan dakwahnya bahkan mereka berkata kepada Nabi Syuaib AS sambil mempersendakannya.

“Wahai Syu’aib! Apakah solatmu menyuruh kamu agar kami meninggalkan apa yang disembah oleh bapak-bapak kami atau melarang kami berbuat apa yang Kami kehendaki tentang harta kami. Sesungguhnya kamu adalah orang yang sangat penyantun lagi berakal. 

(QS Al-Hud: 87)

Kemudian, Nabi Syuaib AS membantah mereka dengan kalimah lembut sambil mengajak mereka kepada yang haq. Beliau berkata:

“Wahai kaumku! Bagaimana pendapatmu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku dan dianugerahiNya aku dari rezeki yang baik (patutkah aku menyalahi perintahNya?) Dan aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa yang aku larang. Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) kebaikan selama aku masih sanggup. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepadaNyalah aku kembali.      

(QS Al-Hud: 88)

Seperti itulah Nabi Syuaib AS, beliau berdakwah dengan hujah yang kuat sehingga beliau disebut Khatibul Anbiya’ (Ahli pidato dari kalangan para nabi).

Selanjutnya, beliau menakut-nakuti kaumnya dengan azab Allah dan mengajak mereka kembali kepada Allah:

“Wahai kaumku, janganlah pertentangan antara aku (dengan kamu) menyebabkan kamu menjadi jahat hingga kamu ditimpa azab seperti yang menimpa kaum Nuh atau kaum Hud atau kaum Saleh sedang kaum Luth tidak (pula) jauh (zaman dan tempatnya) dari kamu. Dan mohonlah ampun kepada TuhanMu, kemudian bertaubatlah kepadaNya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Penyayang lagi Maha Pengasih.”

(QS Al-Hud: 89-90) 

Mendengar perkataan itu, maka mereka mengancam akan menghukum beliau, mereka berkata:

 “Wahai Syu’aib! Kami tidak banyak mengerti tentang apa yang kamu katakan itu dan sesungguhnya kami benar-benar melihat kamu seorang yang lemah di antara kami kalau tidak kerana keluargamu tentulah kami telah merejam kamu sedang kamu pun bukanlah seorang yang kuat di sisi kami.”                                                                                 

 Nabi Syuaib AS menjawab, “Wahai kaumku, apakah keluargaku lebih terhormat menurut pandanganmu daripada Allah sedang Allah kamu jadikan di belakang? Sesungguhnya (pengetahuan) Tuhanku meliputi apa yang kamu kerjakan.” 

(QS Al-Hud: 91)

Nabi Syuaib AS terus menakut-nakuti mereka dengan azab Allah SWT jika mereka tetap di dalam kesesatan dan kemaksiatan mereka.

Tetapi kaumnya malah menjawab ancaman itu dengan mengancam beliau dan memberikan pilihan untuk mengikuti agama mereka atau pergi meninggalkan kota mereka bersama orang-orang beriman yang mengikutinya. 

Namun Nabi Syu’aib dan orang-orang yang beriman bersamanya tetap teguh di atas keimanan mereka dan menyerahkan urusan mereka kepada Allah. 

Maka, kaumnya menuduh beliau sebagai pesihir dan pendusta. 

Para pemimpin mereka juga berkata kepada yang lain:

“Sesungguhnya jika kamu mengikuti Syuaib, tentu kamu menjadi orang-orang yang merugi.” (QS Al-A’raaf: 90)

Hingga akhirnya Nabi Syuaib AS berdoa kepada Allah SWT:

“Ya Tuhan Kami, berilah keputusan antara kami dan kaum kami dengan haq (adil) dan Engkaulah pemberi keputusan yang sebaik-baiknya.” (Al-A’raaf:89)

Maka Allah SWT menyuruh Nabi Syuaib AS agar keluar dari kota itu bersama orang-orang yang beriman kerana azab akan turun menimpa kaumnya.

Allah SWT menimpakan mereka cuaca yang begitu panas yang membuat tanaman kering, perigi kering, dan susu haiwan habis.

Maka mereka pun keluar mencari kesejukan, lalu mereka menemui awan hitam yang sebelum ini dianggap sebagai hujan dan rahmat, sehingga mereka berkumpul di bawahnya.

Kemudian ditimpakan kepada mereka bunga api yang membakar dan api yang bergejolak sehingga membakar mereka semua.

Bumi pun bergoncang dan mereka ditimpa suara yang sangat kuat sehingga mereka menjadi jasad-jasad yang mati bergelimpangan. 

Demikianlah, Allah SWT mengirimkan kepada mereka pelbagai bentuk azab dan musibah kerana sifat dan perbuatan mereka yang buruk.

Allah timpakan kepada mereka gempa bumi sebagai balasan kerana mereka mengancam akan mengusir Nabi Syuaib AS dan para pengikutnya.

Dia juga menimpakan suara yang sangat kuat sebagai balasan di atas persendaan mereka kepada Nabi mereka.

Dan Dia juga menimpakan kepada mereka naungan awan yang daripadanya keluar bunga api sebagai jawapan atas permintaan mereka untuk ditimpakan azab berupa gumpalan dari langit.

Allah S.W.T menyelamatkan Nabi Syuaib AS dan orang-orang yang beriman bersamanya. 

Dia berfirman: “Dan ketika datang azab Kami, Kami selamatkan Syuaib dan orang-orang yang beriman bersamanya dengan rahmat dari Kami dan orang-orang yang zalim dibinasakan oleh satu suara yang kuat, lalu jadilah mereka mati bergelimpangan di rumahnya seolah-olah mereka belum pernah berdiam di tempat itu. Ingatlah, kebinasaanlah bagi penduduk Madyan sebagaiman kaum Tsamud telah binasa." 

(QS Al-Hud 94-95)

Demikianlah kisah Nabi Syuaib AS dan kaumnya. 

Semoga kita mendapat pengajaran darinya dan semoga kita tidak termasuk di dalam golongan seperti kaum Madyan yang ditimpakan azab oleh Allah kerana telah berbuat kemaksiatan di muka bumi. 

Pengajaran bagi kita, umat islam pada masa kini, amalkanlah adab-adab berniaga dan berniagalah secara jujur terhadap pelanggan kita.

Rujukan:

Al-Qur'anul Karim Surah Al-A’raaf: 85, 89 & 90

Al-Qur'anul Karim Surah Al-Hud: 87-88

Al-Qur'anul Karim Surah Al-Hud: 89-91

Al-Qur'anul Karim Surah Al-Hud 94-95