,

Tahun Kesedihan

Sebagai seorang manusia, sudah pasti akan berasa sedih dan kehilangan apabila kehilangan orang yang sangat dikasihi.

Susah senang bersama apabila tiba masanya, dijemput Ilahi. Pemergian itu telah menyebabkan hilang jugalah teman untuk mengadu nasib.

Ya, begitu jugalah yang terjadi kepada Nabi Muhammad SAW. 

Tidak sempat menarik nafas lega selepas pemboikotan berakhir, Baginda diuji sekali lagi. 

Kali ini dengan pemergian orang yang dikasihi, Abu Talib dan Sayidatina Khadijah.

Dua Pemergian Serentak

Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dalam Badr al-Tamam wa al-Nujum al-Thawaqib menceritakan “Dan meninggal dunia Abu Tailb pada tahun yang kesepuluh, lapan bulan 21 hari setelah keluar daripada sy’ab

Umur beliau ketika itu ialah 87 tahun...dan meninggal dunia juga Sayidatina Khadijah pada tahun ini juga.”

Tahun ke-10 kenabian merupakan tahun di mana Nabi SAW menerima ujian yang cukup berat. 

Ujian kehilangan tulang belakang dakwah Baginda. 

Selama ini, Baginda menerima perlindungan keselamatan daripada bapa saudaranya Abu Talib yang merupakan ketua puak Quriasy di Mekah. 

Apabila nyawa anak saudaranya itu diancam, maka beliaulah yang pertama akan melindunginya. 

Sungguhpun Abu Talib tidak memeluk Islam, beliau sangat menyayangi anak saudaranya itu.

Begitu juga dengan Sayidatina Khadijah. Beliau bukan setakat penyeri rumah tangga Baginda SAW, bahkan menjadi penguat semangat dan pembantu kepada suaminya yang dilantik menjadi rasul itu. 

Bukan itu sahaja, segala kekayaan yang dimilikinya sebelum ini semuanya diinfakkan untuk tujuan dakwah suaminya.

Pemergian mereka berdua sedikit menggugat semangat Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan risalahnya.

Lebih-lebih lagi kedudukan Abu Talib sebagai ketua Quraisy diganti oleh saudaranya Abu Lahab yang terang-terangan memusuhi Baginda dan dakwahnya.

Mencari Sokongan Baharu

Melihatkan keadaan dirinya yang sudah tidak selamat dan terancam ditambah pula dengan tekanan penduduk Mekah yang semakin kuat. 

Nabi Muhammad SAW memerlukan ‘Plan B’

Justeru, Baginda mencuba nasib untuk menyampaikan seruan dakwah kepada penduduk kota yang berjiran dengan Mekah iaitu Taif.

Baginda mengharapkan agar penduduk Taif dapat menerima Islam dan kemudiannya dapat mengurangkan tekanan penduduk Mekah kepada umat Islam ketika itu. 

Kota Taif merupakan sebuah kawasan yang terletak di kawasan pergunungan. 

Tidak seperti Mekah yang terletak di kawasan lembah.

Dalam misi dakwah ini, Nabi Muhammad SAW turut membawa anak angkat kesayangannya, Zaid bin Harithah

Sasaran mereka ialah para pembesar kaum di sana. Lalu, mereka pun bertemulah dengan tiga orang pembesar Bani Tsaqif.

Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani menceritakan: “Dan tatkala sampai Rasulullah SAW ke Taif, qasad ia kepada beberapa orang daripada kabilah Tsaqaif yang penghulu-penghulu dan yang mulia-mulia mereka itu. Dan mereka itu tiga saudara.”

Dalam pertemuan itu, Nabi Muhammad SAW kemudiannya menceritakan tentang Islam. 

Namun, tiba-tiba salah seorang daripada mereka berdiri dan berkata sambil mengejek: “Adakah tiada orang lain yang Allah datangkan selain daripada engkau?”

 “Kemudian seorang lagi pula menambah, “Hanya satu sahaja yang saya boleh katakan. 

Jikalau sesungguhnya kamu benar-benar seorang rasul utusan Allah seperti yang dikatakan, maka beratlah kesusahan yang kamu akan pikul.   

Sebaliknya jika kamu berdusta, maka tidak perlu lagilah kita bersembang.”

Begitulah berakhirnya pertemuan tersebut. Ia berakhir dengan penuh kehampaan.

Sebelum beredar, Nabi SAW berpesan kepada mereka agar tidak memberitahui sesiapa tentang kehadiran mereka berdua di situ. 

Baginda bimbang sekiranya hal ini diketahui oleh kaumnya di Mekah.

Rujukan:

Badr al-Tamam wa al-Nujum al-Thawaqib, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.