Istilah falsafah wujud sejak lebih 2000 tahun dahulu yang mana dipelopori oleh orang Yunani. ‘Pilosofies’ merupakan kata gabungan dari dua suku kata iaitu ‘Pilos’ yang bermaksud penggemar manakala ‘Sofos’ yang bermaksud hikmah atau ilmu.
Orang falsafah dikenali sebagai filsuf yang mana mereka ini adalah penggemar kepada hikmah dan ilmu.
Perihal perhubungan di antara perempuan dan lelaki menjadi salah satu perkara yang kerapkali dibincangkan dalam kalangan ahli falsafah kerana ia merupakan perkara yang besar mempengaruhi tingkah laku manusia.
Buya Hamka dari perspektif yang lain mengambilnya sebagai satu perbincangan yang wajib ditekuni dan kita boleh lihat lebih dari separuh karyanya bahkan ada karyanya khas bertajuk ‘Buya Hamka Berbicara Tentang Perempuan’ yang menyentuh perihal ini dan ia amat menarik!
Jadi amatlah rugi jika perkara ini dipandang sepi kerana ia sebenarnya menyentuh perihal diri kita sendiri sebenarnya.
Selepas membaca sebahagian karyanya, kita akan dapati Buya Hamka seorang filsuf yang layak menyingkap hal ini.
Cinta pada pandangan perempuan dan lelaki
Cinta itu perlu dalam hidup manusia. Seringkali cinta mewarnai sifat kasih sayang antara lelaki dan perempuan tetapi dengan cinta juga menjadikan manusia tersangkut antara konflik yang timbul lantaran isi cinta itu difahami dengan cara yang salah lantaran ia tidak disulami dengan akal fikiran tetapi emosi.
Kata Buya Hamka bilamana menceritakan cinta bagi perempuan:
“Dia (perempuan) menuruti kehendak laki-laki pada ketika itu bukan lantaran pertimbangan akalnya, tetapi lantaran cintanya, itu sebab dia tunduk. Ketika itu ditekannya perasaannya yang asal, sehingga diakuinya perjuangan suaminya di luar.
Jadi, bukan lantaran benar-benar dia setuju, hanya cinta itulah. Dan kalau dia tidak setuju bukanlah benar-benar lantaran dia tidak setuju, hanya lantaran cinta juga.”
Manakala cinta bagi lelaki adalah berbeza. Cinta itu bukan segala-galanya tetapi tempat untuk bersandar hidup selepas berjuang. Kata Buya Hamka:
“Ukuran perempuan atas satu perkara adalah ukuran cinta, tujuannya yang terakhir adalah cinta. Sedang bagi laki-laki cinta itu ialah tempat ‘pakansi’. Tempat istirehat sesudah payah. Tempat berlapang-lapang sesudah kesempitan. Kepuasan sesudah perjuangan di luar lingkungan rumah tangga. Cinta bagi laki-laki ialah istirehat untuk mengembalikan kekuatan menempuh sambungan perjuangan yang sebelum itu.”
Selepas daripada itu, Buya Hamka menyatakan sifat cinta perempuan itulah yang melahirkan sifat halus dalam perasaannya dan akhirnya dia sanggup berkorban untuk orang yang disayanginya. Kerana itu, perempuan sifatnya lebih setia daripada lelaki. Kata Buya Hamka:
“Sungguh pun demikian janganlah kita ragu akan keutamaan perempuan lantaran cinta dan kasih sayangnya itu. Dia sanggup berkorban, sanggup melupakan kepentingannya dirinya untuk kepentingan orang lain, terutama suaminya atau orang yang dicintainya.” (Hamka, Falsafah Hidup m/s 390-391. PTS publishing House 2017)
Pengaruh perempuan kepada kebebasan lelaki
Dalam catatannya yang lain, Buya Hamka menyentuh pengaruh perempuan dalam kehidupan lelaki yang menjadi suatu perkara yang besar dalam kehidupan.
Sifat itu adalah fitrah bagi perempuan yang mana akan mengikis kebebasan bertindak dan berfikir seorang lelaki.
Oleh itu hendaklah orang lelaki faham tentang perkara ini supaya wujud dalam rumahtangga kebebasan untuk mengatur kehidupan, untuk berjuang. Kata Buya Hamka:
“Orang tidak boleh lupa tabiat perempuan ialah egoistic, yang lebih dipentingkannya ialah keperluan dirinya (ananiy; bahasa Arab). Dia hendak dapat perhatian laki-laki. Dia hendak mempergunakan laki-laki jadi tangganya mencapai maksud dirinya.
Dia hendak menenggelamkan hati laki-laki dan akalnya ke dalam pelukannya. Perempuan tidak sanggup berfikir sedalam-dalamnya yang berhubung dengan umum, dia hanya sanggup memikirkan urusan umum kalau di sana ada untung untuk diri.”
“Sebab itu hubungan dengan perempuan ialah perhubungan ‘undang-undang alam’, lebih tidak. Hubungan lantaran kehendak alam sudah begitu. Jadi sifatnya ialah hubungan yang teguh tetapi memabukkan.
Dalam pada itu keinginannya ialah menikhtiarkan supaya tabiat kita sama dengan tabiatnya. Dia berusaha supaya akal kita sama dengan akalnya. Kemerdekaanmu itu digunakan untuk mendapatkan benda yang dicarinya. Setelah itu diusahakannya pula supaya kemerdekaanmu itu jatuh dan hilang sama sekali.”
“Sebab itu hati-hati dengan perempuan. Jangan sampai tabiat perempuan itu engkau lupakan. Menurut ukuran dia, segala sikapnya itu lantaran cinta kepada engkau, tetapi engkau tidak sedar cintanya itu membunuh kemerdekaanmu”. (Hamka, Falsafah Hidup m/s 374-375. PTS publishing House 2017)
Di antara sahabat dan isteri
Lebih daripada itu, Buya Hamka telah membuat satu ruangan khas membincangkan tentang ‘persahabatan dan perempuan’.
Yang mana perbincangannya berkisarkan sifat perempuan menganggap sahabat suaminya sebagai musuh yang cuba mengambil cintanya.
Walhal kata Buya Hamka lelaki tidaklah sama sekali mengorbankan hidupnya buat isteri dan cinta sahaja. Sedangkan hidup lelaki perlu juga berjuang dalam lapangan masyarakat. Kata Buya Hamka:
“Orang perempuan tidaklah tahu benar bagaimana besar harga persahabatan di antara dua laki-laki. Dia tidak faham harga persahabatan di antara dua laki-laki berlainan dengan harga percintaan di antara seorang laki-laki dengan seorang perempuan.
Dia tidak kenal bahawa harga persahabatan itu lebih mahal dari harga percintaan. Sebab itu sahabat suaminya kerapkali dipandangnya musuhnya, dia benci dan takut. Takut akan dicurinya sebahagian daripada cinta suami kepadanya.”
“Satu di antara perangai khusus perempuan, ialah tidak faham bahawa cinta adalah dalam lingkungan batin, dan persahabatan dalam lingkungan lahir. Dia tidak faham bahawa orang-orang laki-laki, tidak dapat hidup menurut batin sahaja.
Tetapi dia lebih berhajat akan seorang teman di dalam hidupnya di luaran, yang ada perhubungan pendapat, pertimbangan, akal fikiran, perjuangan atau lain-lain yang tidak dapat dicampuri sedikitpun oleh perempuan atau oleh cinta.”
“Hal itu sukar bagi perempuan memahaminya, dia tidak mahu mengerti itu. Apa sebab?. Kerana dia mahu cintanya itu suaminya terikat teguh, tersimpul mati, tidak lepas lagi keluar. Baik mengenai urusan dalam, atau mengenai urusan luar.
Baik urusan rumah tangga, atau urusan di mana sekalipun. Dia ingin supaya suaminya jangan terpisah dari dia selama-lamanya.” (Hamka, Falsafah Hidup m/s 389. PTS publishing House 2017)
> bersambung Falsafah Perhubungan Perempuan Terhadap Lelaki Menurut Buya Hamka (Bahagian 2-akhir) <
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Muhamad Syafiq Bin Salim. Berasal dari Johor Bahru. Sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (Master) Kejuruteraan dalam bidang Pengurusan Pembinaan di UTM, Skudai. Ikuti perkembangan beliau melalui Facebook Syafiq Alfatih (Muhamad Syafiq Bin Salim) atau ke Facebook Tukang Jahit Johor.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.