Rasulullah dan kaum muslimin bertolak dari Madinah pada tanggal 12 Ramadan tahun kedua hijrah. Apa yang pasti, Rasulullah pada awalnya tidak berniat untuk menyerang kaum kafir Quraisy, tetapi Baginda hanya ingin menghalang kafilah dagang Quraisy yang membawa harta dagangan yang ada di antaranya adalah milik kaum muslimin di Makkah yang dirampas secara zalim.
Jadi, dalam perjalanan, ada beberapa peristiwa yang berlaku yang boleh diambil sebagai pengajaran, iaitu:
- Al-Barra’ bin Azib dan Ibnu Umar diarah pulang ke Madinah.
Setelah meninggalkan Madinah dan sampai di Buyut As-Suqya iaitu di luar Madinah, Rasulullah menyusun pasukan dan memeriksa para sahabat yang ikut serta.
Lalu, Rasulullah menolak para sahabat yang tidak memiliki kekuatan termasuklah Al-Barra’ dan Ibnu Umar kerana pada ketika itu mereka masih lagi kecil, walaupun mereka sudah bersemangat untuk berjihad.
- Bertemu dengan seorang musyrik yang ingin turut ikut berperang.
Dalam perjalanan, ada seorang musyrik yang ingin turut sama mengikut perang, tetapi ditolak Rasulullah kerana Baginda tidak mahu meminta pertolongan daripada orang musyrik untuk membela agama Allah.
Namun, orang itu masih terus berusaha untuk ikut, akhirnya dia masuk Islam dan dibenarkan untuk turut ikut bersama kaum muslimin.
- Bergilir menunggang unta antara Rasulullah dan para sahabat.
Rasulullah berkongsi satu unta bersama Abu Lubabah dan Ali bin Abu Thalib. Kata mereka, biarlah mereka berjalan kaki supaya Rasulullah dapat menaiki unta. Kemudian, kata Baginda: “Kamu tidaklah lebih kuat daripada saya, dan saya tidaklah lebih memerlukan balasan kebaikan daripada kamu berdua.”
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)