,

Gagasan Khidmat Berpaksikan Umat

Saya mula melibatkan diri dalam dunia kesukarelawanan ini pada tahun 2016.

Ya, saya akui bahawa tempoh penglibatan saya ini masih lagi baru, banyak yang perlu dipelajari.

Pada tahun tersebut, dalam usia yang baru mencecah 20 tahun, saya telah diamanahkan untuk menjalankan satu misi kemanusiaan di Pulau Siberut, Sumatera Barat, Indonesia.

Ya, satu misi yang sangat besar bagi saya yang tidak pernah terlibat dengan mana-mana NGO sebelum ini.

Ketika itu, saya sebagai salah seorang ahli relawan Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) perlu mengikuti rombongan daripada sebuah NGO kemanusiaan yang bernama Global Peace Misson (GPM).

Tujuannya adalah untuk menyampaikan bantuan sumbangan rakyat Malaysia serta keperluan asas kepada penduduk minoriti Muslim di Pulau Siberut.

Kehidupan mereka sungguh mencabar, ditambah pula tempat tersebut turut menjadi sasaran golongan mubaligh Kristian sehingga menjadikan majoriti penduduknya beragama Kristian Katolik!

Ummatic Centric

Apa itu ummatic centric?

Ia bermaksud suatu gagasan pemikiran yang meletakkan khidmat kepada umat sebagai paksi utama dalam kehidupan seorang Muslim.

Pertama kali saya mendengar tentangnya adalah tatkala pertama kali bertemu dengan salah seorang tokoh gerakan dakwah terkenal tanah air iaitu Tn. Hj. Ahmad Azam Ab. Rahman.

Beliau banyak mengajar saya untuk memahami konsep ini sebaik sahaja bergiat dalam aktiviti kemanusiaan.

Maka, tidak hairanlah jika beliau merupakan pengasas kepada GPTD dan juga GPM.

Tambahan pula beliau juga merupakan ayah kepada Allahyarham Ahmad Ammar yang syahid di bumi Turki pada tahun 2013 yang lalu.

Dalam salah satu sesi ceramah beliau, Tn Hj. Ahmad Azam sering menyebut betapa kita perlu memahami Firman Allah yang bermaksud:

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (QS Ali-Imran 3: 110)

Gagasan pemikiran ummatic centric ini bermula dengan meletakkan iman sebagai asas (input) dan kemudian diikuti dengan amar makruf dan nahi mungkar sebagai tindakan (proses).

Akhirnya akan melahirkan sebaik-baik umat sebagaimana yang di firmankan oleh Allah sebagai hasil (output).

Mesti Realistik

Apabila sudah memiliki asas yang kukuh, barulah langkah diambil untuk berkhidmat kepada umat.

Namun, bagaimanakah caranya?

Caranya adalah dengan mengenal pasti terlebih dahulu keperluan masyarakat.

Setelah dikenal pasti keperluan masyarakat, maka barulah kita boleh merangka dan merancang strategi untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Tanpa mengetahui keperluan spesifik sesuatu masyarakat, bantuan yang ingin disampaikan itu tidak dapat mengenai sasaran yang tepat.

Sebagai contoh, masalah berkaitan dengan golongan gelandangan yang terbiar di kota raya Kuala Lumpur.

Kenal pasti terlebih dahulu caranya untuk kita menyelesaikan masalah ini.

Caranya adalah dengan memberikan pendidikan kepada golongan kanak kanak gelandangan.

Mudah-mudahan, apabila golongan kanak-kanak ini berpeluang untuk mendapatkan pendidikan yang sewajarnya, kelak mereka dapat mengubah nasib keluarganya yang susah itu.

Pendidikan boleh jadi pendidikan formal atau pendidikan vokasional.

Ya, ia merupakan satu khidmat yang realistik.

Bak kata tokoh negarawan Afrika Selatan, Nelson Mandela:

“Pendidikan merupakan senjata yang paling ampuh yang boleh kamu guna untuk mengubah dunia!”

Inilah kaedah yang telah berjaya dilaksanakan oleh seorang guru Bahasa Inggeris saya sewaktu di sekolah menengah dahulu, Pn. Siti Rahayu Baharin.

Beliau yang kini merupakan seorang pensyarah di sebuah IPT bergiat aktif melalui NGO beliau yang diberi nama Buku Jalanan Chow Kit (BJCK).

Pelan Tindakan

Firman Allah yang bermaksud: “Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan…” (QS Al-Baqarah 2: 148)

Seruan ini kelihatan sudah difahami oleh umat Islam kerana mereka masing-masing tidak lokek untuk memberikan khidmat.

Maka, berdasarkan ulasan artikel di atas, dapatlah difahami bahawa:

  • Niat kerana Umat
  • Melalui cara ini, ia akan meruntuhkan rasa pentingkan diri sendiri yang selama ini menjadi tembok penghalang untuk menaburkan khidmat kepada umat.

    Apabila begitu, kita akan menjadi lebih sensitif kepasa isu-isu yang melibatkan umat Islam.

  • Kenal Pasti Keperluan Golongan Sasar
  • Lakukan tinjauan dan kajian berkaitan keperluan golongan sasar.

    Hal ini bertujuan untuk mengelak daripada berlakunya lambakan bantuan bagi satu-satu keperluan.

    Kelak, bantuan - bantuan tersebut akan disia-siakan.

  • Saling Bekerjasama
  • Jika sesuatu bidang bukan menjadi bidang kepakaran di pihak kita, serahkan kepada pihak yang lebih berkeupayaan.

    Wujudkan satu jaringan kerjasama dalam bidang-bidang khidmat kemanusiaan agar gerak kerja menjadi lebih lancar dan terfokus.

    Rujukan:

    Al-Qur'anul Karim, Surah Ali-Imran 3: 110

    Al-Qur'anul Karim, Surah Al-Baqarah 2: 148

    What do you think?

    0 points
    Upvote Downvote

    Total votes: 0

    Upvotes: 0

    Upvotes percentage: 0.000000%

    Downvotes: 0

    Downvotes percentage: 0.000000%