,

Tiada Manusia Tidak Melakukan Kesilapan

Cherry Pink Roses

“Ok lah Lia, kita jumpa lain kali ye. Hari sudah semakin lewat, perjalanan aku pun masih jauh lagi ini,” ujar Fareesha meminta diri tatkala jam di tangan sudah menunjukkan pukul 9 malam.

Perjalanan yang dijangka satu jam sebelum sampai ke kampung halaman membuatkan Fareesha mahu segera memulakan perjalanannya.

“Eh, Fareesha. Jom kita pergi makan sekejap. Aku belanja,” pelawa Dahlia.

“Aku bukannya tak nak, Lia. Tapi sudah lewatlah. Kita jumpa lain kali la ye,” ujar Fareesha menolak pelawaan Dahlia secara baik.

“Ala, bukan selalu pun. Sekejap sahaja. Jom lah,” pujuk Dahlia lagi sambil memegang lengan Fareesha.

Fareesha melepaskan keluhan kecil, memandang sekilas jam di tangan. Serba salah rasanya mahu menolak ajakan Dahlia.

“Ok ok. Sekejap sahaja tau,” ujar Fareesha mengalah.

“Ok, thank you,” balas Dahlia tersenyum.

Dahlia memilih meja agak belakang, jauh sedikit daripada kesibukan orang ramai. Selepas selesai membuat pesanan makanan, Dahlia dan Fareesha masing-masing sepi.

Tidak lama kemudian pelayan restoran menghantar pesanan minuman. Fareesha menghirup air yang telah dihidangkan. Selepas beberapa ketika, Fareesha dan Dahlia saling berpandangan.

So?” ujar Fareesha pendek, memecahkan sepi antara mereka. Fareesha memulakan langkah untuk membuka ruang perbualan antara mereka.

“Kau tahukan apa yang berlaku kepada aku dan Hakim?” Tanya Dahlia kepada Fareesha. Fareesha sudah sedia maklum, Dahlia dan Hakim sudah berkahwin sejak setahun yang lalu.

Namun begitu, sejak beberapa bulan yang lalu, Fareesha kerap kali terbaca status-status peribadi bersifat negatif di media sosial Dahlia berkaitan Hakim.

“Aku tak tahu apa yang berlaku sebenarnya kalau kau tak cerita. Walaupun aku boleh baca apa yang kau tulis di status media sosial kau, aku malas nak buat andaian yang bukan-bukan,” ujar Fareesha berterus terang dengan Dahlia.

“Hubungan aku dengan Hakim sedang bermasalah,” ujar Dahlia jujur.

“Masalah? Okay… Tetapi semua orang di dunia ini juga ada masalah. Aku tak fikir masalah kau ini teruk sangat sampai kau perlu nak upload status macam itu di media sosial kau?” Ujar Fareesha tegas meminta kepastian.

Dahlia diam. Satu keluhan berat dilepaskan.

“Ok, kalau kau kata kau ada masalah, daripada per sepuluh, berapa kau nilaikan masalah kau?” Tanya Fareesha lagi.

“Sembilan,” jawab Dahlia pendek. Fareesha pula melepaskan keluhan berat.

“Macam inilah Lia. Aku tak tahu secara terperinci masalah kau, sebab ianya terlalu peribadi untuk aku masuk campur. Dan rasanya, aku kurang layak untuk nasihatkan kau dalam hal-hal macam ini. Nasihat aku, selesaikan masalah ini dengan cara yang terbaik. Pasti ada jalan selesainya. Cari orang ketiga yang kau percaya boleh membantu kau selesaikan masalah ini seperti ustaz ustazah. Aku yakin, dia orang akan membantu sebaiknya. Bukannya dengan cari upload di media sosial,” ujar Fareesha panjang lebar.

“Semasa aku upload status itu, aku tengah marah, sakit hati! Cuba kau bayangkan kau berada di tempat aku, apa kau rasa?” Tanya Dahlia. Hatinya terasa sakit dengan peristiwa lampau yang memberikan kesan mendalam kepada hidupnya.

“Tak kisahlah apa pun alasan kau, adakah kau rasa dengan kau buat macam itu di media sosial, kau boleh selesaikan masalah kau? Satu pesan aku, saat kau rasa emosi kau tak stabil, jauhkan diri kau daripada media sosial. Jujur aku cakap, zaman sekarang ini, media sosial boleh menjadi sesuatu yang sangat kejam kepada kehidupan kita,” ujar Fareesha panjang lebar.

“Aku betul-betul tertekan masa itu. Aku dah tak boleh nak berfikir. Aku tak ada siapa nak luahkan apa yang aku rasa. Aku buntu,” ujar Dahlia. Fareesha dan Dahlia masing-masing berdiam diri buat seketika.

“Kau rasa, apa yang patut aku buat sekarang?” Tanya Dahlia kepada Fareesha.

Sorry, Lia. Aku tak boleh nak buat keputusan untuk kau dan aku tak boleh masuk campur dalam urusan peribadi kau. Semuanya terletak pada kau. Tanya pada hati kau. Aku cuma mampu beri pandangan dan nasihat. Sebab pada akhirnya nanti, kau yang akan hadapi semuanya ini,” jawab Fareesha. Dahlia diam mendengar kata-kata Fareesha. Jauh di sudut hatinya, apa yang dikatakan Fareesha itu ada benarnya.

“Lia, kita sebagai manusia ini, jangan asyik nak cari salah orang lain. Dato’ Dr Hj Fadhilah Kamsah ada pesan, cari kelemahan dan kesalahan diri sendiri dan perbetulkannya sebelum kita mahu mencari kesalahan dan kelemahan orang lain. Tak ada manusia yang sempurna tanpa melakukan kesalahan dan kesilapan, tetapi usahalah untuk perbaiki kesilapan itu,” ujar Fareesha lagi.

“Lia, cuba kau tengok bunga ini,” ujar Fareesha sambil menunjuk ke arah bunga ros berwarna merah jambu segar yang menjadi perhiasan meja di restoran tersebut.

“Kenapa?” Tanya Dahlia kehairanan.

“Hidup kita ini seperti bunga ini. Aku gelarkan ia Cherry Pink Roses . Do not watch the petals fall from the rose with sadness, know that, like life, things sometimes must fade, before they can bloom again. Fikir-fikirkan, aku dapat quotes ini daripada majalah,” ujar Fareesha.

Dahlia dan Fareesha saling berpandangan dan tersenyum.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Syairah Akmal.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.