,

Rasulullah Memerintahkan Abdullah Bin Atik Membunuh Yahudi Pengkhianat Iaitu Salam Bin Abu Al-Haqiq

Salam bin Abu Al-Haqiq adalah seorang yahudi bani Nadhir yang selalu menghasut kaum musyrikin untuk menjatuhkan Daulah Islam, malah dia juga berjanji untuk memberi hadiah besar kepada Ghathafan dan kabilah-kabilah musyrik Arab yang lain sekiranya mereka mahu melancarkan serangan kepada Rasulullah.

Disebabkan pengaruh jahatnya dan penggerak kepada pasukan sekutu untuk melawan Rasulullah, bahkan boleh memberi kesan besar kepada Daulah Islam, maka Rasulullah memerintahkan beberapa orang sahabat dalam kalangan Anshar yang diketuai Abdullah bin Atik untuk menyerang Salam bin Abu Al-Haqiq.

Pada ketika itu, Salam berada di tempat perlindungannya, di sebalik benteng yang mempunyai pintu gerbang. Abdullah menggunakan pelbagai helah sehingga akhirnya dia berjaya melepasi pintu gerbang, membuka pintu dan memberi laluan kepada sahabat-sahabat lain untuk masuk ke dalam benteng itu.

Abdullah berjaya masuk ke dalam rumah Salam, dia berada di tengah-tengah rumah yang gelap. Apabila tiba masa yang sesuai, Abdullah mengayunkan pedang ke arah Salam, namun Salam terselamat. Dia menjerit sehingga Abdullah keluar melarikan diri.

Setelah itu, Abdullah cuba lagi sehingga dia berjaya membunuh Salam, serorang pengkhianat daripada yahudi.

Isteri kepada Salam berteriak ketika Salam dibunuh, pada awalnya Abdullah turut ingin membunuh isteri itu tetapi tidak jadi kerana Rasulullah melarang membunuh wanita dan kanak-kanak. Abdullah yang pandai berbahasa yahudi bercakap-cakap dengan isteri dan keluarga kepada Salam.

Abdullah juga tercedera kerana berlaku kemalangan di dalam rumah itu sehingga betisnya patah. Dia membalutnya dengan serban.

Setelah pulang dan berada bersama Rasulullah, Abdullah menceritakan apa yang berlaku, lalu Baginda meminta supaya Abdullah meluruskan kaki dan diusap kaki itu sehingga kaki itu terus sembuh seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku, itulah mukjizat Rasulullah dengan izin Allah.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)