Adakah Rasulullah terus pergi ke Thaif dan berdakwah ke sana? Sudah pastinya tidak. Ada beberapa strategi yang dilakukan Baginda agar tidak dikesan oleh kaum Quraisy pada ketika itu.
Jom kita lihat beberapa strategi yang telah dilakukan Rasulullah.
- Berjalan kaki menuju ke Thaif
Tujuannya supaya orang Quraisy tidak perasan bahawa Rasulullah akan keluar dari Makkah.
Jika Baginda menaiki kenderaan, pastinya orang Quraisy akan tahu bahawa Baginda sedang menuju ke tempat tertentu, sudah pasti mereka akan menghalangnya.
- Mengajak Zaid menemaninya
Tujuannya supaya wujud situasi keamanan iaitu jika orang melihat bahawa ada orang lain yang menemani Rasulullah, tentu tidak ada sebarang kerahsiaan atau syak terhadap apa yang akan dilakukan Baginda.
Malah, Baginda mengenali Zaid sebagai seorang yang jujur dan amanah, jadi Zaid tidak akan memecahkan rahsia.
- Bersabar walau mendapat layanan buruk di Thaif
Rasulullah tidak marah atau berdendam dengan masyarakat di sana yang memberi layanan buruk, malah menutup rahsia ini daripada kaum Quraisy.
Tujuannya supaya kalau mereka tahu perkara ini, sudah pasti mereka akan mencerca Baginda malah boleh jadi akan semakin keras dalam melakukan penindasan dan tekanan kepada orang Islam di Makkah, sehingga semakin terhalang untuk melakukan dakwah sama ada di dalam atau di luar Makkah.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)