, ,

Tiada Siapa Yang Berkuasa Memberi Hidayah Kecuali Allah SWT

Abu Thalib adalah orang yang sentiasa melindungi Rasulullah dan sangat marah kepada orang yang menyakiti Baginda.

Sungguhpun begitu, masyarakat Quraisy masih sangat menghormati Abu Thalib. Sebelum meninggal dunia, mereka datang menjenguknya dan menghasut supaya tetap berpegang teguh pada agama nenek moyang dan tidak masuk Islam.

Rasulullah sentiasa berusaha mengajak pak ciknya itu untuk mengucap La ilaha illallah sementara kaum Quraisy pula mempersoalkan bahawa adakah Abu Thalib sudah membenci agama Abdul Muttalib iaitu agama nenek moyang mereka.

Apa respon Abu Thalib? Katanya, “Andaikan masyarakat Quraisy tidak akan merendahkanku jika aku mengucapkan kalimat itu, aku tahu mereka akan mengatakan ‘Abu Thalib mengucapkannya kerana ketakutan’, nescaya aku akan membuatmu senang dengan mengucapkan kalimat itu.”

Lalu, Allah menurunkan wahyu:

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).” (Surah Al-Qasas 28:56)

Kaum Quraisy yang hadir ketika Abu Thalib hendak menghembuskan nafas terakhir, berusaha keras menimbulkan rasa ketakutan dalam hatinya, bahawa jika dia masuk Islam, kononnya berita buruk itu akan tersebar di tengah masyarakat dan akan membentuk cerita buruk tentang dirinya di tengah kaumnya.

Akhirnya, Abu Thalib meninggal dunia pada tahun kesepuluh kenabian, malah tahun itu juga dikatakan tahun dukacita kerana kematian dua orang yang sangat Baginda kasihi iaitu pak ciknya Abu Thalib dan isterinya Siti Khadijah.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)