, ,

Kisah Lelaki Nasrani Masuk Islam Setelah Dakwah Ditolak Penduduk Thaif

Ketika dakwah Rasulullah tidak diterima oleh penduduk Thaif, Baginda terpaksa berlindung di kebun milik Utbah bin Rabi’ah dan Syaibah bin Rabi’ah.

Mereka berasa kasihan melihat lelaki iaitu Rasulullah yang berada di situ, lalu memanggil hamba abdi mereka yang bernama Addas untuk memberi makanan berupa setangkai anggur.

Addas seorang yang beragama Nasrani. Ketika dia meletakkan pinggan berisi anggur di hadapan Rasulullah dan meminta untuk memakannya, maka Rasulullah ketika ingin memakannya diucap “Bismillah.”

Terkejut dengan perkara itu, Addas berkata bahawa ucapan itu tidak pernah dikatakan oleh penduduk negeri ini.

Lalu, Rasulullah bertanya mengenai latar belakang, dan Addas mengatakan bahawa dia beragama Nasrani dan berasal dari negeri Ninawa.

Rasulullah bertanya mengenai seorang lelaki soleh yang berasal dari situ, iaitu Yunus bin Mata atau lebih dikenali sebagai Nabi Yunus. Addas tahu mengenainya, kemudian Baginda mengatakan bahawa Nabis Yunus adalah saudaranya dan mereka berdua adalah nabi.

Addas terus memeluk, mencium tangan dan kaki Rasulullah. Pada ketika itu, Utbah dan Syaibah melihat apa yang dilakukan hamba mereka.

Setelah itu, mereka bertanya kenapa Addas melakukan sedemikian. Lalu, dia berkata, “Wahai tuanku, tidak ada di muka bumi ini yang lebih baik daripada lelaki ini. Sungguh dia telah menyampaikan kepadaku tentang suatu perkara yang tidak seorang pun mengetahuinya selain Nabi.”

Mereka memberikan respon, “Celakalah engkau, jangan sampai dia membuatmu berpaling dari agamamu, sesungguhnya agamamu lebih baik daripada agamanya.”

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)