Dalam perang Zatur Riqak, Allah menurunkan ayat tentang pensyariatan solat khauf. Cara pertama ialah satu kelompok menyusun saf bersama Rasulullah, sementara kelompok lain menghadapi musuh.
Rasulullah melaksanakan solat bersama kelompok pertama satu rakaat, kemudian tetap tegak berdiri, kemudian mereka selesaikan solat mereka dan beranjak pergi, kemudian mereka menyusun satu saf ke arah musuh.
Satu saf yang lain pula datang, kemudian Baginda melaksanakan solat satu rakaat yang masih tersisi bersama mereka. Kemudian, Baginda tetap duduk, sementara makmum selesaikan solat mereka, kemudian Baginda mengucapkan salam.
Cara kedua pula iaitu dalam riwayat lain, Rasulullah melaksanakan empat rakaat, sedangkan masing-masing dua kelompok pasukan melaksanakan dua rakaat.
Dr Ramadan Al-Buthi menyatakan: “Dua hadith ini dapat digabungkan bahawa Rasulullah melaksanakan solat khauf lebih dari satu kali, satu kali menurut cara pertama dan solat yang lain dengan cara kedua.”
Secara tidak langsung, ia menunjukkan bahawa solat sangat penting, tidak boleh diabaikan walau dalam situasi genting seperti perang. Solat tetap wajib ditunaikan.
“Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh);
dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing.
Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.” (Surah An-Nisaa’ 4:102)
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)