,

Kisah Abu Qilabah RA

Abu Qilabah Radiallahu Anhu adalah sahabat nabi.

Jarang orang mengetahui nama Abi Qilabah ini tapi dia mempunyai kisah yang unik.

Kisahnya begini, suatu hari ada seseorang sedang bermusafir dari satu kota ke kota lain dengan menunggang kuda.

Setelah dia kehabisan bekal, dia melihat ada satu khemah di padang pasir yang luas itu.

Khemah ini dimasukinya dan dia melihat pemandangan yang memilukan di dalam khemah itu. 

Khemah itu kosong tiada makanan, tiada minuman dan ada satu orang terbaring dengan kedua tangan dan kakinya putus sementara kedua matanya buta.

Orang yang terbaring inilah namanya Abu Qilabah. Lalu, pemuda tersebut bertegur dengannya.

Pemuda: Assalamualaikum w.b.t.

Abu Qilabah: Waalaikumussalam w.b.t.

Pemuda itu mendekatinya dan berkata: "Siapa kamu dan kenapa kamu ada di padang pasir ini?"

Abu Qilabah: Saya salah seorang hamba Allah. Kamu siapa?

Pemuda: Saya musafir yang kebetulan lalu di sini dan memerlukan makanan dan minuman. Saya kehabisan bekalan.

Abu Qilabah: Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah yang menyempurnakan nikmatNya kepada saya.

Pemuda: Wahai tuan, apa yang membuat kamu bersyukur kepada Allah? Apa yang kamu syukuri, nikmat apa yang ada?

Abu Qilabah: "Diamlah wahai anak muda, kamu tidak tahu bahawa nikmat Allah sangat besar kepada saya." 

"Saya boleh mengucapkan kalimah ini sahaja sudah menutupi semua kekurangan saya ini, sebuah nikmat yang tidak terhingga. Alhamdulillah atas semuanya."

Pemuda ini berasa kagum dengan Abu Qilabah lalu bertanya: "Baiklah, ada apa-apa yang boleh saya bantu?"

Abu Qilabah: "Ada, saya ada seorang anak lelaki yang selalu menemani saya di sini. Dia merawat saya dan memberikan makanan dan minuman."

"Sekarang, sudah tiga hari dia tidak pulang, cuba kamu carinya di sekitar khemah ini, siapa tahu ada."

"Sememangnya perlu kamu tahu yang hidup di padang pasir ini cuma saya dan anak saya, tidak ada orang lain, kalau ada orang yang kamu lihat nanti, bererti dia anak saya."

Pemuda: "Baiklah. Saya pergi mencarinya."

Tidak jauh dari khemah itu, ada jenazah manusia yang sedang dikerumuni oleh singa.

Pemuda itu terdetik bahawa pasti itu anak Abu Qilabah tetapi malangnya dia sudah mati, malah dagingnya dicarik-carik oleh singa.

Lalu, pemuda itu kembali dan bingung bagaimana hendak menceritakan kepada Abu Qilabah.

Dia sendiri susah, hidupnya di padang pasir sendirian, lumpuh, dan anaknya dimakan singa.

Akhirnya, pemuda itu mendapat idea.

Pemuda: "Wahai saudaraku, apakah kamu mengetahui kisah Nabi Ayub?"

Abu Qilabah: "Tentu saja."

Pemuda: "Apakah boleh kamu ceritakan kepada saya tentang dia?"

Abu Qilabah: "Ayub A.S. adalah orang yang tidak ternilai kesabarannya, orang yang diberi ujian oleh Allah, 20 tahun dengan penyakit, 20 tahun dengan mati 12 anak lelakinya." 

"20 tahun dengan penyakit kusta sehingga ditinggal oleh kaumnya, hartanya semua habis serta 20 tahun hidup dalam kemiskinan."

Pemuda: "Benar apa yang kamu ucapkan dan saya berharap kamu boleh menjadi sebahagian kecil dari Nabi Ayub kerana anak kamu, seorang lelaki ini sudah mati dimakan singa."

Pemuda ini menjangkakan Abu Qilabah akan menangis.

Abu Qilabah tersenyum lalu mengatakan: "Alhamdulillah, anak saya telah mendahului saya ke syurga."

Pemuda: "Kenapa kamu berkata begitu?"

Abu Qilabah: "Anak saya ini sangat berbakti kepada saya."  

"Menurut agama, anak yang soleh itu seorang yang menjaga ibadahnya kepada Allah dan yang berbakti kepada orang tuanya akan dikurniakan ganjaran syurga."

"Anak saya begitu, saya yakin dia akan masuk syurga."

Pemuda: "Baiklah."

Abu Qilabah:   أشهد أن لا إله إلا الله ، وأشهد أن محمد رسول الله

Setelah melafazkan shahadah lalu Abu Qilabah pun meninggal dunia.

Pemuda: إن لله وإنا إليه راجعون .....  

"Saya kehabisan bekal, kehabisan makanan bertemu lagi orang seperti ini dan mati."

"Apa yang harus saya lakukan?"

Lalu, pemuda tersebut keluar dari khemah, mencari sesiapa yang boleh menolongnya.

Tidak lama kemudian, lalulah empat orang yang menaiki kuda dari jauh dengan hikmah Allah.

Penampilan mereka seperti orang-orang kerajaan, pakaiannya kemas.

Pemuda: "Ya Allah, utuslah kepada kami orang yang boleh membantu."

Pemuda itu lalu berteriak memanggil mereka.  

Mereka mendengar laungan pemuda itu dan bertanya perihal pemuda tersebut.

Pemuda: "Dalam khemah ini, ada orang tua yang meninggal, kaki dan tangannya lumpuh, matanya buta, anaknya dimakan oleh singa."

Mereka: "Apa kamu cakap? Orang buta, orang lumpuh, mana dia?"

Empat orang ini seakan-akan memang mengenali Abu Qilabah lalu turun dari kuda mereka.

Pemuda: "Di dalam khemah, saya sudah tutup dia dengan kain, meninggal."

Pada saat dibuka wajahnya, 4 orang ini mencium-cium jenazah orang lumpuh ini sambil menangis. 

Pemuda ini tidak mengerti akan situasi ini.

Pemuda: "Kenapa kalian menangis? Siapa orang ini?"

Mereka: "Kau tidak kenal sama orang ini?"

Pemuda: "Tidak."

Mereka: "Ini Abu Qilabah Al-Jurumi. Ini sahabat nabi. Satu-satunya sahabat nabi yang masih hidup sekarang, ini orangnya."

"Dia sudah lama kami cari kerana disuruh oleh raja untuk menjadi hakim. Dia melarikan diri kerana tidak mahu menjadi hakim sehingga dia tinggal di padang pasir."

"Orang ini sangat terkenal dengan kesolehannya, doanya mustajab."

Pemuda ini menangis sambil berkata: "Alhamdulillah Allah telah mempertemukan saya dengan orang soleh ini sehingga saya boleh melihat salah satu sahabat nabi S.A.W. dan akhirnya saya boleh belajar dari dia."

Ibrah untuk kita adalah mencontohi sifat Abu Qilabah yang kenal Tuhannya, dan tahu bahawa ujian dunia hanya di dunia

Apabila kita meninggal, jasad kita dimakan tanah dan kita dibangkitkan semula dalam keadaan muda, lelaki seperti postur Adam dan perempuan seperti Hawa.

Tidak ada yang sakit, cacat kerana semua penyakit hanya di atas dunia.

Penyakit hilang bersama ruh yang keluar dari badan. 

Yang membuat Abi Qilabah sabar kerana dia tahu ini hanya ujian dunia. 

Yang penting beriman, nanti di akhirat diberi semuanya. Begitulah manfaat bagi orang beriman.

Rujukan:

Ceramah Dr. Khalid Zeed Abdullah Basalamah, Audio Syiar (Abu Qilabah Sahabat Terakhir Rasullullah Hamba Yang Penuh Syukur)