Ada beberapa pandangan bila berlakunya peperangan Zatur Riqak. Antaranya, Ibnu Ishak mengatakan ia berlaku setelah perang Bani An-Nadhir. Ada juga yang mengatakan ia berlaku selepas perang Khandaq.
Namun, pendapat paling ramai dipegang ulama’ ialah perang ini berlaku pada tahun keempat hijrah, iaitu lebih kurang enam bulan setengah setelah pengusiran yahudi bani An-Nadhir.
Antara penyebab berlakunya perang Zatur Riqak adalah kerana tipu muslihat yang dilakukan banyak kabilah di Nejed terhadap kaum muslimin, ia terlihat jelas dalam kes pembunuhan yang mereka lakukan terhadap 70 pendakwah yang menyeru agama Allah.
Apabila Rasulullah mendengar bahawa bani Muharib dan bani Tha’labah dari Ghatafan telah berkumpul untuk memerangi Rasulullah, maka Baginda datang ke negeri mereka sehingga menyebabkan mereka lari meninggalkan anak, isteri dan harta benda.
Dalam situasi itu juga, solat khauf dilaksanakan kerana khuatir kaum muslimin akan diserang semula ketika solat, setelah itu barulah Rasulullah dan para sahabat pulang ke Madinah.
Kabilah-kabilah tersebut diberi pengajaran bahawa kaum muslimin bukan hanya sekadar mampu menumpaskan mereka, tetapi juga mampu mengalahkan mereka di tempat sendiri.
Ada beberapa sebab kenapa ia dipanggil perang Zatur Riqak, antaranya adalah kerana kaum muslimin:
- mengikat potongan kain atau kulit haiwan ke kaki mereka untuk menghindari panas
- mengikat bendera
- ada nama pohon yang bernama Zatur Riqak
- bermukim di suatu kawasan yang terdapat warna putih dan hitam, lalu disebut Zatur Riqak
Namun, pendapat paling tepat ialah kaum muslimin mengikat potongan kain ke kaki mereka.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)