Shuhaib bin Sinan pada asalnya seorang hamba. Kemudian, dia telah dibeli dan dibebaskan menjadi orang biasa. Dia bekerja keras sehingga menjadi kaya.
Ketika Islam hadir, dia telah memeluk Islam. Apabila perintah hijrah ke Madinah turun, dia bersama para sahabat yang lain ingin berhijrah.
Namun, hasratnya diketahui penduduk Makkah dan mengatakan kepadanya bahawa dahulu dia seorang yang miskin dan hina, lalu menjadi kaya di tempat mereka, maka mereka takkan benarkan dia untuk hijrah dengan membawa hartanya sekali.
Lalu, Shuhaib bertanya adakah mereka akan membiarkannya hijrah jika dia berikan kekayaannya kepada mereka. Kemudian, mereka menjawab ya.
Shuhaib mengambil keputusan untuk memberikan seluruh hartanya kepada mereka dan dia dapat berhijrah ke Madinah.
Tidak lama selepas itu, Rasulullah mengetahui perkara tersebut dan mengatakan bahawa Shuhaib telah beruntung.
Selain itu, Ikrimah juga pernah bercerita mengenai Shuhaib: “Ketika Shuhaib hendak pergi berhijrah orang-orang Makkah dapat menyusulnya, kemudian dia melepaskan tabung tempat anak panah, kemudian dikeluarkan empat puluh anak panah dari tempatnya, seraya berkata: “Kamu tidak akan pernah berhasil mendekatiku, sehingga aku lepaskan semua anak panah ini kepada kamu, setelah itu aku akan menggunakan sebilah pedang. Kamu semua tahu bahawa aku seorang yang handal. Aku akan memberikan hartaku di Makkah kepada kamu”.”
Rasulullah membacakan ayat ini kepada Shuhaib.
“Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.” (Surah Al-Baqarah 2:207)
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)