,

Kejamnya Kafir Quraisy Memisahkan Suami, Isteri, dan Anak Kaum Muslimin Yang Ingin Berhijrah!

Abu Salamah, Ummu Salamah dan anak lelaki mereka iaitu Salamah ingin berhijrah ke Madinah setelah mendapat saranan daripada Rasulullah untuk para sahabat berhijrah ke sana.

Namun, kaum Ummu Salamah iaitu Bani Mughirah melihat mereka lalu menghalangnya.

Sehinggakan, mereka mengambil Ummu Salamah daripada Abu Salamah dan anaknya.

Kemudian, kaum Abu Salamah iaitu Bani Abdul Asad juga mengetahui perkara itu, lalu mereka mengatakan bahawa jika Ummu Salamah dipisahkan dairpada keluarga itu maka mereka tidak mengizinkan anak lelaki ikut bersama ibunya.

Berlaku perebutan mengenai Salamah, sehingga akhirnya:

  • Salamah dibawa pergi oleh Bani Abdul Asad
  • Ummu Salamah dibawa pergi oleh Bani Mughirah
  • Abu Salamah terus ke Madinah.

Walaupun dihalang kaum Quraisy, tidak dapat bersama isteri dan anak untuk ke Madinah, ia tidak merubah niat Abu Salamah untuk tetap melakukan hijrah, tiada apa yang dapat mampu menghalang keimanannya.

Menurut Ummu Salamah pula, sejak perpisahan itu, dia sering menangis sehingga lebih kurang setahun, sehinggalah ada kaum Bani Mughirah berasa simpati dan melepaskan dia.

Malah, setelah berpisah lama itu juga barulah Bani Abdul Asad mengembalikan anaknya, Salamah.

Mereka berdua bertolak menaiki unta tanpa ada pertolongan sesiapa pun untuk ke Madinah. Dalam perjalanan, ketika di Tan’im, mereka bertemu dengan Usman bin Thalhah yang pada ketika itu masih lagi belum Islam.

Lalu, Usman membantu mereka sehingga ke Madinah dan mempertemukan semula dengan Abu Salamah, suami kepada Ummu Salamah dan ayah kepada Salamah.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)