,

Rasulullah Mengutus Surat Kepada Raja Romawi Untuk Ajak Masuk Islam, Apa Responnya?

Perjanjian Hudaibiyah dan perang yahudi Khaibar secara tidak langsung membuka pintu untuk meluaskan lagi pengaruh Islam, bukan saja di sekitar jazirah Arab tetapi juga di luar tanah Arab.

Jadi, antara strategi dakwah yang dilakukan Rasulullah adalah mengutus surat kepada penguasa-penguasa di sesebuah negara.

Antaranya, Rasulullah mengutus surat kepada Heradius (Herkulis) iaitu Raja Romawi. Surat tersebut dibawa oleh Dihyah Al-Kalbi. Isi surat tersebut adalah:

“Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Daripada Muhammad Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam utusan Allah untuk Heradius, pembesar Romawi. Sejahteralah bagi orang yang mengikuti Al-Huda (petunjuk). Amma ba’du, maka sesungguhnya aku menyeru engkau dengan seruan Islam. Masuklah Islam nescaya engkau akan selamat dan Allah akan memberikan kepada engkau pahala sebanyak dua kali. Maka jika engkau berpaling maka sesungguhnya ke atas engkau dosa kaum Al-Arisiyyin (kaum Nasrani).”

Ini sesuai dengan firman Allah yang bermaksud

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah”. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”. (Surah A-li’Imraan 3:64)

Diceritakan bahawa Raja Romawi itu percaya dengan kenabian Nabi Muhammad dan berniat untuk memeluk Islam, namun disebabkan golongan bangsawan dan kerajaannya tidak bersetuju maka dia tidak jadi memeluk Islam kerana takut kehilangan kerajaan dan pengaruh.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi) dan Kelahiran Teragung (Ustaz Muhadir Haji Joll)