, ,

Selagi Kau Yakin Allah Itu Ada

HIDUP ini hiasannya ujian dan mehnah. Ujian itu sudah sebati bukan hanya pada kita bahkan sudah menjadi rencah hidup para nabi dan Rasul.

Mana ada manusia yang hidupnya tiada goncangan, sebagaimana laut yang tidak pernah berhenti beralun dengan ombaknya.

Dalam menempuhi jalan kehidupan, manusia tidak akan pernah terlepas daripada membuat pilihan. Sama ada pada sekecil-kecil perkara atau sebesar-besar perkara.

Bagaimana kita akan tahu pilihan itu benar atau salah?

Bergantung kepada keadaan hati. Dalam buku karangan Hamka yang berjudul Falsafah Hidup, terdapat satu ruangan tentang menyelidiki pilihan, jalan apa yang seharusnya kita pilih. Katanya,

Orang yang berakal menyelidiki pendapatnya di dalam suatu perkara yang enak nafsunya. Kata hukama’, “Kalau engkau ragu menghadapi sesuatu perkara, hendaklah dengarkan suara hawa nafsumu. Kalau hawa nafsu suka ke sana, alamat perkara itu tiada baik engkau tempuh. Tetapi kalau hawa nafsu kurang mahu, tetapi baik kata akal, alamat itulah yang baik engkau kerjakan.”

Kadang kita tersalah membuat pilihan, lalu kita sakit dek kerana tindakan sendiri. Lalu kita mahu salahkan siapa?

Bukankah Allah memberi akal fikiran supaya berfikir? Kebanyakan manusia mudah lupa, bersyukurnya hanya saat senang. Sedangkan bila dia jatuh, Allah pula yang disalahkan.

Kau tak rasa apa yang aku rasa.”

Ini ayat yang biasa terpacul keluar dari bibir orang yang sedang kecewa. Bilamana ada tangan yang menghulur ingin membantu, kadang madahnya tidak menyenangkan hati, atau nasihatnya tidak membuatkan hati ini boleh bernafas lega kembali.

Ya benar, mana mungkin orang sekeliling boleh merasakan sebetulnya apa yang ada di dalam hati. Itu hati kita, yang ada di dalam diri kita bukannya mereka.

Bila kita mula sedar tiada siapa yang memahami, siapa yang kita cari?

Jarang sekali kita mencari Allah, kita lebih selesa meluahkan di laman-laman terbuka. Ruang-ruang yang kadangkala memakan diri sendiri.

Firman Allah SWT: “Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” (Surah Qaff : 16)

Allah itu tidak ke mana-mana. Jauhnya tidak bersempadan, dekatnya tanpa sebarang halangan.

Hanya kita yang tidak merasakan, atau sengaja tidak mahu merasa dek kerana terlalu bergantung kepada rasa ‘tiada siapa memahami’.

Bukankah Allah yang menciptakan kita? Bukankah Sang Pencipta lebih tahu daripada yang dicipta?

Masalahnya adalah kita, terlalu mencari pemahaman daripada manusia, terlalu berharap ada yang sudi menghulur tangan mengesat air mata yang bercucuran.

Sedangkan manusia itu sering berubah hati, manusia lain juga sedang menanggung masalah mereka sendiri.

Firman Allah: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Surah Al-Baqarah : 186)

Allah itu ada, hanya kita yang perlu merasakannya. Menghadirkan rasa bertuhan di dalam hati.

Mana mungkin Allah menguji jika kita tidak mampu, mana mungkin Allah biarkan hamba-hambanya buntu tanpa sebarang petunjuk kecuali kita sendiri yang menutup mata hati.

Analoginya umpama seorang guru yang mendekati anak muridnya menunjukkan jawapan sewaktu berlangsungnya peperiksaan.

Kalau dia berbuat begitu, atas ukuran apa dia mampu mengetahui kemampuan sebenar anak muridnya itu?

Dan juga satu perumpamaan melalui kata-kata hikmah yang berbunyi,

Angin kencang menerpa pokok bukan untuk menjadikannya menari-nari,
Tetapi untuk menguji kuatkah akar mencengkam bumi.

Yakinlah Allah itu sentiasa ada, Allah sentiasa punya caranya yang tersendiri untuk mendidik hamba-hambaNya.

Dalam ayat seribu dinar ada dinyatakan, ia bukan sekadar ayat pelindung jika kita hayati maksud di sebaliknya. Ayat seribu dinar ini melalui firman Allah dalam surah At-talaq ayat 2 dan 3 berbunyi:

“… dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

Dalam al-Quran, Allah menyeru hambanya bukan sekadar ‘wahai hamba-hambaku yang beriman’ bahkan pasti ayat seruan Allah itu disusuli dengan ‘dan yang beramal soleh’. Ertinya apa?

Tidak cukup hanya beriman tanpa amal soleh. Dan orang yang beramal seharusnya yakin Allah itu sentiasa mahukan kebaikan untuk hamba-hambaNya.

Selagi kita yakin Allah itu ada, pasti ujian itu tidak membuatkan kita manusia yang berputus asa. Saat kita diuji, sabar dan mohonlah pertolongan Allah.

Hakikatnya, manusia hanya wasilah, sedang Allah jualah yang memberikan jalan. Bukankah Allah telah berfirman:

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhya hal itu sangat berat, kecuali bagi orang-orang yang  khusyu’, (iaitu) orang-orang yang menyakini, bahawa mereka akan menemui Rabb mereka dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.” (Surah Al-Baqarah 2:45-46)

Bila kita sudah melakukan sehabis daya untuk hidup ini, letakkan pengharapan natijah kepada Allah. Kita hanya pengusaha sedang natitahnya bergantung kepada Allah yang memegang segala natijah.

Tawakal itu bagaimana? Ia umpama si mati yang sudah tidak berdaya melakukan apa-apa, hanya terkujur diperbaringan, menyerahkan urusan kafan, mandi dan pengebumian kepada pengurus jenazah. Saat itu, kita hanya mampu berserah.

Semoga kita terus kuat, jalan ini masih panjang.

Siiru ‘ala barakatillah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis Syarifah Nurul Baiti binti Sayed Mustapha. Berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan dan merupakan pelajar tahun akhir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.