Perang Mu’tah. Peperangan ini tercatat di dalam sejarah sebagai sebuah peperangan besar.
Dalam peperangan ini, seramai 12 orang sahabat mati syahid dan mereka memiliki kedudukan tinggi di sisi Allah.
Ingin aku kongsikan satu kisah yang terdapat dalam peperangan ini. Kisah tiga orang sahabat yang bertukar minuman.
Apakah yang menariknya kisah ini serta pengajaran yang terkandung?
Dalam peperangan itu, Ikrimah bin Abu Jahal r.a. terbaring terkena 70 tikaman di dadanya.
Di sampingnya pula adalah Al-Harits bin Hisyam dan Ayyasy bin Abi Rabi’ah. Al-Harits memanggil-manggil meminta air kerana kehausan.
Petugas pembawa air ketika itu berlari mendapatkan Al-Harits dan ingin memberikannya air.
Namun, saat Al-Harits melihat Ikrimah yang turut sama sangat kehausan, Al-Harits berkata pada si petugas, “Berikan air kepada Ikrimah.”
Petugas itu bergegas ke arah Ikrimah dan bersedia untuk memberikan minuman padanya.
Namun, ketika itu, Ikrimah melihat Ayyasy bin Abi Rabi’ah juga sedang kehausan, lalu Ikrimah berkata pada petugas itu, “Berikanlah air ini kepada Ayyasy.”
Petugas tersebut berlari menuju ke arah Ayyasy dan ingin memberikannya air, tetapi Ayyasy sudah tidak bernyawa.
Petugas tersebut dengan cepat menuju semula kepada Ikrimah dan Al-Harits untuk memberikan mereka minum, namun keduanya juga sudah tidak bernyawa.
Inilah kisah tiga orang sahabat yang bertukar minuman tetapi tidak sempat untuk menghilangkan kehausan mereka kerana telah dipanggil oleh Allah terlebih dahulu, untuk meminum air syurga dan sungai-sungainya.
Masyaallah tabarakallah. Apakah pengajaran di sebaliknya?
Lihatlah betapa hebatnya akhlak para sahabat yang mana, pada waktu mereka amat memerlukan sesuatu, tetapi apabila mereka melihat ada yang lain lebih memerlukan, mereka mengutamakan orang lain berbanding diri mereka sendiri. Allah.
Sanggup menggadaikan kepentingan diri di saat genting dengan mendahulukan keperluan dan kemahuan orang lain.
Kisah ini cukup buatkan aku tersentuh dan berfikir. Begitulah akhlak yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W.
Jika ada yang lebih memerlukan bantuan serta keperluan pada waktu yang sama kita mahu keperluan diri kita dipenuhi, dahulukanlah orang tersebut.
Buanglah rasa pentingkan diri sendiri. Turunkan ego kita.
Yakinlah, Allah akan mengganjari perbuatan kita dengan nikmat yang lebih baik.
Cebisan coretan ini nampak kecil dan ringan barangkali, tetapi mampu berikan pengajaran yang cukup bermakna, dan boleh kita aplikasikan dalam kehidupan seharian.
Kisah ini aku saksikan dalam drama bersiri ‘Umar Series’. Kisah yang menceritakan perjuangan Rasulullah S.A.W dan para sahabat dalam memperjuangkan agama Islam.
Satu kisah penyaksian suka, duka, perit, dan getirnya para sahabat dalam menemani perjuangan Rasulullah S.A.W.
Semoga kisah tiga orang sahabat ini dapat kita contohi, dan semoga Allah membalasi kebaikan yang kita lakukan dengan ganjaran kebaikan yang lebih berganda.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan seorang terapis bekam, penulis dan penterjemah sepenuh masa. Sangat suka menulis cerpen sejak di bangku sekolah.
Cerpen ‘Rahsia dalam Rahsia’ terpilih untuk dibukukan dalam Siri Antologi Cerpen Negeri (Negeri Perak) terbitan Fufu Terbit. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Amirah dan Instagram cahaya_nurish.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.