,

Rasulullah Mengutus Beberapa Sahabat Untuk Berunding Dengan Quraisy Sebelum Perjanjian Hudaibiyah

Rasulullah berasa penting untuk menghantar utusan ke Makkah bagi berunding dengan kaum Quraisy mengenai hajat kaum Muslimin ke Makkah bukan untuk berperang tetapi untuk beribadah.

Lalu, seorang sahabat dipilih iaitu Khirasy bin Umayyah Al-Khuza’i. Khirasy menunggang seekor unta yang bernama Tha’lab. Namun, ketika Khirasy memasuki Makkah, apa yang dilakukan kaum Quraisy begitu melampau iaitu mereka menyembelih unta itu dan hampir saja membunuh Khirasy namun berjaya dihalang kabilah Ahbasy.

Khirasy kembali semula menemui Rasulullah dan menceritakan perkara yang berlaku. Setelah itu, Rasulullah mencadangkan Umar pula untuk menjadi utusan. Namun, Umar meminta maaf dan memberikan sebab betapa pentingnya menjaga keamanan tetapi tugas keamanan itu tidak mungkin mampu dilakukan Umar.

Setelah itu, Umar mencadangkan Uthman memandangkan Uthman sendiri mempunyai kabilah di Makkah yang dapat melindunginya daripada gangguan kaum musyrikin.

Lalu, Uthman berangkat sehingga sampai ke kawasan berdekatan Makkah iaitu Baldah. Ketika berada di Baldah, Uthman bertemu kaum Quraisy dan menyampaikan hajat kaum Muslimin ke Makkah.

Seperti yang dijangka, kaum Quraisy tetap menolaknya. Kemudian, Aban bin Sa’ad memberi perlindungan kepada Uthman untuk bergerak memasuki Makkah, lalu menemui tokoh-tokoh kaum Quraisy contohnya Abu Sufyan, Shafwan dan lain-lain. Namun, hasilnya sama saja iaitu kaum Quraisy tidak membenarkan.

Uthman turut ditawar untuk bertawaf di Ka’bah tetapi dia tidak mahu melakukannya, pasti sajalah dia ingin menunggu Rasulullah dan kaum Muslimin untuk bersamanya.

Selain itu, kaum Muslimin yang masih berada di Makkah juga turut menyampaikan pesan kepada Rasulullah melalui Uthman bahawa pasti suatu masa nanti Allah akan memasukkan kaum Muslimin semula ke lembah Makkah.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)