,

Nilai Ilmu yang Dipinggirkan

Hari ini sistem pendidikan kita masih lagi mengguna pakai kaedah penilaian berasaskan peperiksaan.

Peperiksaan tersebut terdiri daripada peperiksaan di peringkat sekolah mahupun di peringkat kebangsaan. 

Namun, yang diambil kira hanyalah peperiksaan besar yang diadakan seluruh negara sebagai penentu sama ada seseorang murid atau pelajar itu dapat meneruskan pelajarannya atau tidak.

Baru-baru ini tular di media sosial tentang tindakan seorang pelajar mencampakkan bukunya ke sungai. 

Dikatakan bahawa pelajar tersebut telah selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

Begitu juga dengan tindakan dua orang pelajar yang menconteng baju seragam mereka dengan kata-kata lucah ditujukan kepada guru mereka.

 Timbul persoalan. Tidakkah tindakan sebegini sangat membimbangkan?

Belajar untuk Memuntahkan

Tidak dapat dinafikan, apa-apa sahaja sistem yang dicipta oleh manusia pasti ada kekurangan dan kelebihannya. 

Dalam hal ini, pelaksanaan kaedah penilaian berasaskan peperiksaan pun begitu. 

Tidak dapat dinafikan ada murid dan pelajar yang baik lahir daripada sistem ini

Namun, sekiranya perkara ini dipandang remeh, maka sudah pasti lebih mudah untuk menghasilkan murid dan pelajar yang tidak baik.

Ya, benar penilaian dilaksanakan untuk menguji tahap kefahaman murid atau pelajar setelah menjalani sesi persekolahan untuk tempoh tertentu. 

Namun, akibat daripada tidak memahami nilai ilmu yang dipelajari itu menyebabkan apa yang ditumpukan hanyalah kepada peperiksaan semata

Tidak mengapa untuk tidak hadir ke sekolah, tidak mengapa untuk tidak membuat tugasan, tidak mengapa jika tidak menghormati guru asalkan keputusan peperiksaan cemerlang.

Budaya ini bukan sahaja sudah menjalar dalam kalangan murid dan pelajar di sekolah bahkan juga sehingga ke peringkat pengajian tinggi juga. 

Tidak kira yang belajar di dalam mahupun di luar negara. 

Lebih malang lagi apabila masa yang diperuntukkan selama beberapa tahun itu hanya semata-mata untuk ‘dimuntahkan’ ke atas kertas jawapan di dewan peperiksaan. Tidak melekat di dalam hati.

Tidak cukupkah Nabi SAW telah menjanjikan kepada para penuntut ilmu akan kemudahan jalan untuk ke syurga? 

Baginda bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga.” (Riwayat Muslim)

Ayuh fikirkan. Adakah layak tindakan menuntut ilmu hanya sekedar untuk dimuntahkan ke atas kertas peperiksaan untuk tergolong dalam hadis ini? 

Itulah yang perlu diterapkan kembali kepada para penuntut ilmu kita. 

Nilai ilmu dapat difahami hanya melalui adab bukan dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang semata!

Guru Bagaikan Warden Penjara?

Akibat daripada tidak memahami nilai ilmu, tempat menimba ilmu dianggap sebagai penjara

Manakala guru yang mengajar pula dianggap sebagai wardennya. 

Ditambah pula dengan pemahaman bahawa peperiksaan adalah tiket untuk melepaskan diri daripada ‘penjara’ ini.

Maka setelah selesai menduduki peperiksaan, ‘warden-warden’ ini layak dihina dan dicaci kerana yakin dirinya tidak akan kembali lagi ke ‘penjara’ itu dan bertemu dengan ‘warden-warden’ tersebut.

Alangkah sedihnya. Guru yang telah bertungkus lumus mengajar dan mendidik sehingga tidak lena tidur memikirkan anak muridnya yang menduduki peperiksaan mendapat layanan yang sebegitu.

Tidak perlulah sampai begitu sekali. Di mana adabnya?

Kalaupun menganggap sekolah itu bagaikan penjara, setidak-tidaknya apabila telah keluar dari ‘penjara’ itu, tunjukkanlah sikap yang baik

Cukuplah segala ‘hukuman’ selama berada di ‘penjara’ itu mengajar diri. Lihatlah bagaimana sikap banduan penjara yang telah selesai menjalani hukumannya. 

Adakah dia menghina seluruh kakitangan penjara itu? Bahkan ada yang bersalaman dan berpelukan lagi.

Begitulah realitinya hari ini. Institusi pendidikan dan golongan pendidik sudah lagi tidak diletakkan pada tempatnya. 

Dek kerana ketandusan adab dan akhlak, kedua-duanya dianggap tiada berharga sekali.

Bukan Tugas Guru Sahaja

Golongan murid dan pelajar merupakan pewaris negara. Sekiranya mereka ini tidak dibentuk dengan sebaiknya, maka masa depan negara akan berada di tahap yang membimbangkan.

Justeru, jika dilitik dengan teliti, sememangnya tugas untuk merubah situasi ini bukanlah terletak hanya di atas bahu para pendidik semata-mata

Ia perlu diselarikan dengan peranan yang dimainkan oleh ibu bapa di rumah.

Adakah kita terlampau sibuk dengan urusan kerja sehingga tidak dapat meluangkan masa untuk memantau aktiviti persekolahan anak-anak kita? 

Adakah kita menyerahkan tugas mendidik anak-anak kepada pihak sekolah semata-mata? 

Andai kata jawapannya ialah ya, maka ketahuilah bahawa itulah antara punca kepada pudarnya nilai ilmu dalam diri anak-anak kita.

Adalah menjadi tanggunjawab kedua ibu bapa di rumah untuk menyediakan tapak telebih dahulu dalam diri anak-anak.

Kemudian, barulah apabila anak-anak dihantar ke sekolah, tapak tersebut akan dibangunkan oleh guru.

Tanpa tapak, mana mungkin sebarang binaan dapat dibina. Didiklah anak-anak tentang kemuliaan ilmu pengetahuan. 

Kemudian, mereka akan bersungguh-sungguh belajar bukan kerana peperiksaan, tetapi kerana mengetahui akan kemuliaan jalan orang yang menuntut ilmu.

Secara tidak langsung, kecemerlangan akan dicapai selain daripada tingkah laku yang baik akan terzahir.