Ketika rombongan Rasulullah bersama para sahabat sampai di Usfan, Bisyr bin Sufyan mengatakan bahawa kaum Quraisy mengetahui perancangan Baginda ke Makkah, lalu mereka ingin menghalang perjalanan dan tidak membenarkan Baginda masuk ke Makkah dan Baitullah, malah sehingga menggunakan wanita dan kanak-kanak untuk menghalang kaum Muslimin.
Lalu, Rasulullah meminta pandangan para sahabat, apa yang seharusnya mereka lakukan, teruskan perjalanan ke Makkah atau bagaimana.
Setelah itu, Abu Bakar memberi pandangan supaya Rasulullah tidak memerangi kaum Qurasiy dan hanya teruskan perjalanan ke Makkah, melainkan kalau kaum Quraisy menyerang terlebih dahulu barulah mereka membalas.
Maka, rombongan kaum Muslimin meneruskan perjalanan. Ketika pasukan berkuda milik kaum musyrikin mendekati mereka yang dipimpin Khalid bin Walid, Rasulullah dan para sahabat melakukan solat khauf di Usfan sehingga kaum musyrikin tidak ada peluang untuk menyerang kaum Muslimin walaupun pada ketika mereka sedang solat.
Kemudian, Rasulullah mengambil keputusan untuk mengubah arah laluan menuju ke Makkah kerana Baginda tidak berhajat untuk berperang dan bagi mengelakkan pertempuran dengan kaum musyrikin.
Jalan yang dilalui adalah jalur kanan di antara lembah Hamsy di jalanan yang membawa mereka menuju Tsaniyatul Murar, lembah Hudaibiyah di bawah Makkah.
Kaum Muslimin melalui jalan itu tanpa disedari kaum musyrikin, malah kaum musyrikin hanya melihat debu kaum Muslimin yang berterbangan. Maka, mereka segera kembali ke Makkah dan memberitahu kaum Quraisy.
Kaum Quraisy berasa takut apabila mengetahui kaum Muslimin singgah di Hudaibiyah kerana perkara tersebut akan membahayakan Makkah, secara tidak langsung mereka berasa terancam dengan kedatangan kaum Muslimin.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)