,

Nikmat Syurga Yang Tertinggi

Melihat kepada Allah ini adalah satu nikmat yang lebih besar daripada syurga.  

Nabi S.A.W. bersabda, di hari-hari tertentu, mereka diberi oleh Allah ruang untuk melihat kepada Allah. 

Apabila mereka melihat kepada Allah, mereka lupa akan nikmat syurga yang mereka kecapi.

Di dalam hadis nabi menggambarkan tentang nikmat syurga:

". ... مَا لاَ عَيْنٌ رَأَتْ وَلاَ أُذُنٌ سَمِعَتْ وَلاَ خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ ‏ ‏..‏

….. Syurga yang tidak ada mata pernah melihatnya, tidak ada telinga yang pernah mendengarnya dan tidak terlintas dalam jantung hati manusia
Nikmat syurga ini indahnya sehingga tidak pernah ada mata sesiapa yang memandang, tidak pernah ada telinga sesiapa yang mendengar, dan tidak pernah terlintas pun dalam hati manusia.

Ianya seindah-indah mata memandang, seindah-indah apa yang didengar oleh telinga dan seindah-indah apa yang terlintas dalam hati dan perasaan manusia

Maksudnya keindahan syurga itu jauh lebih indah berbanding kesemuanya sehingga digambarkan oleh Allah di dalam Surah As-Sajdah:

فَلَا تَعۡلَمُ نَفۡسٞ مَّآ أُخۡفِيَ لَهُم مِّن قُرَّةِ أَعۡيُنٖ جَزَآءَۢ بِمَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ  ١٧

 17.  Tidak seorangpun mengetahui berbagai nikmat yang menanti, yang indah dipandang sebagai balasan bagi mereka, atas apa yang mereka kerjakan.

Namun begitu, tidak ada seorang pun yang mengetahui tentang kenikmatan syurga yang disembunyikan oleh Allah. 

Nabi memberikan gambaran tentang syurga ini pelbagai macam sehingga digambarkan orang yang ingin mengetahui gambaran syurga hendaklah membaca surah Al-Insan.

وَدَانِيَةً عَلَيۡهِمۡ ظِلَٰلُهَا وَذُلِّلَتۡ قُطُوفُهَا تَذۡلِيلٗا  ١٤

 14.  Dan naungan (pohon-pohon surga itu) dekat di atas mereka dan buahnya dimudahkan memetiknya semudah-mudahnya

Di dalam surah Al-Insan, Allah menggambarkan tentang syurga itu sendiri dengan mengatakan di dalam syurga ini terdapat satu pohon namanya pokok Tuba.

Pokok ini daunnya rendang, kalau orang berjalan di bawah daun pokok Tuba ini, perjalanan selama 100 tahun belum lagi lepas daripada satu dedaunannya. 

Umur manusia di dunia saja yang menjangkau 100 tahun boleh dikira dengan jari, ini satu pokok , satu daun,  namun hakikat sebenar bagaimana bentuk pohon tersebut hanya Allah yang tahu. 

Itu sudah di luar apa yang dibayangkan oleh manusia. Digambarkan dari Surah Al-Waqiah:

وَلَحۡمِ طَيۡرٖ مِّمَّا يَشۡتَهُونَ  ٢١

 21.  dan daging burung dari apa yang mereka inginkan
Orang di syurga kalau duduk di katil kemudian nampak burung terbang dengan begitu indah, dia teringin makan burung itu, burung terus siap utk dimakan.

Untuk menyiapkan hidangan, tidak perlu ada dapur, tidak perlu ada tukang masak dan tidak perlu memasak. 

Selepas ia siap dimakan, burung itu terbang semula kerana di syurga tidak ada yang binasa.

Suatu hari, baginda Rasullullah S.A.W. setelah banyak menceritakan tentang syurga, terlibat dengan satu peperangan iaitu peperangan Badar. 

Kemudian, nabi bersabda siapa yang berjihad di jalan Allah kali ini maju dan tidak lari maka dia akan masuk syurga Allah S.W.T. 

Waktu itu, ada seorang Badwi sedang memegang kurma untuk dimakan. Kemudian, katanya badwi itu ketika mendengar sabda nabi tadi, ingin memastikan apa yang didengar betul atau tidak sebelum ini seperti yang telah diceritakan tentang syurga. 

Tetapi kali ini nabi memberitahu tentang jihad supaya maju dan tidak lari, maka dia akan masuk syurga. 

Maka, ketika terdengar syurga, memorinya kembali kepada cerita syurga yang telah diceritakan oleh nabi sebelum ini. 

Sementara dia sedang sibuk untuk memakan kurma, orang itu berkata: "Ya Rasullullah, apa kamu katakan tadi?"  

"Diulang semula oleh nabi, orang yang berjihad di jalan Allah dan maju, tidak lari maka dia akan masuk syurga’."

Badwi itu pun berkata: “kalau begitu yang menghambat aku untuk memasuki syurga Allah adalah hanya sedikit masa untuk aku makan kurma ini. Mengapa aku membuang masa untuk memakan kurma sementara syurga menungguku.

Diletaknya kurma, dan pergi berjihad di jalan Allah, tidak mahu menunggu kerana dia sudah membayangkan bagaimana keindahan syurga itu.  

Di dalam Al-Quran, Allah mengisahkan tentang bagaimana syurga, indah dan luar biasanya tetapi jika dibandingkan dengan keindahan melihat Allah. 

Melihat Allah jauh lebih indah berbanding nikmat syurga sehingga orang yang berada di dalam syurga apabila melihat Allah, lupa kepada kenikmatan syurga.

Orang yang mendapat nikmat keindahan melihat Allah itu bergantung kepada sejauh mana dia dianugerahi Allah untuk kerap melihat Allah. 

Tidak semua orang sama, bergantung kepada sejauh mana amal mereka sendiri untuk dapat melihat kepada Allah S.W.T. Oleh sebab itu, Nabi mengatakan:

‏ . إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ رَبَّكُمْ كَمَا تَرَوْنَ هَذَا الْقَمَرَ لاَ تُضَامُّونَ فِي رُؤْيَتِهِ ...

 “....Kalian akan melihat Tuhan kalian sepertimana kalian melihat bulan ini, dan kalian tidak akan mempunyai masalah untuk melihat-Nya

Kamu akan melihat Tuhan kamu sepertimana kamu melihat kepada bulan ini. Bagaimana cara melihat Allah, itu di dalam pengetahuan Allah. 

Oleh kerana melihat kepada Allah satu kenikmatan yang tertinggi daripada kenikmatan-kenikmatan syurga, maka nabi menyebutkan cara yang terbaik untuk melihatNya. 

Apakah cara yang terbaik? Dalam hal ini, cara terbaik adalah menjaga waktu solat Subuh dan Asar.

Dalam hal ini, Nabi bersabda: "Setelah diberitahu kamu akan melihat kepada Tuhan kamu." 

Kemudian kata nabi: "Kalau boleh kamu tidak dikalahkan daripada melakukan solat sebelum terbit matahari iaitu solat Subuh dan solat sebelum terbenam matahari iaitu solat Asar." 

Maka, hendaklah kamu melakukannya dengan baik. Maksudnya jangan kamu mengabaikan dengan sebab-sebab yang lain yang boleh menyebabkan kamu lalai daripada solat Subuh dan Asar yang dengannya kamu tidak akan dapat melihat kepada Allah S.W.T. 

Jagalah dua solat itu di antara lima solat. Keutamaannya adalah dua solat tadi, maka kamu akan diganjari untuk melihat kepada Allah S.W.T. Bukan nikmat syurga sahaja, tetapi nikmat melihat Allah.

Akhir kata, sama-samalah kita menjaga Solat Subuh dan Asar supaya dapat melihat Allah S.W.T. kelak.

Rujukan:

Sahih Muslim 2824b, https://sunnah.com/muslim: 2824b

Sahih al-Bukhari (7434) dan Sahih Muslim (633)

Video ceramah Habib Ali Zaenal Abidin, Muslim Tv: Kebahagiaan di Syurga yang Disembunyikan Allah S.W.T. Kepada Kita?

Al-Qura’nul Karim, As-Sajdah: 17

Al-Qura’nul Karim, Al-Insan: 14

Al-Qura’nul Karim, Al-Waqiah: 21