Kaum Quraisy berasa marah dengan kaum muslimin yang berhijrah ke Habasyah buat kali kedua, lalu mereka menghantar Abdullah bin Abu Rabi’ah dan Amr bin Al-Ash untuk memujuk Raja Najasyi.
Mereka telah mendapat sokongan para pembesar Habasyah, tetapi disebabkan Raja Najasyi seorang yang sangat adil, dia tidak terus menerima apa yang dikatakan oleh wakil kaum Quraisy itu.
Apa kata mereka? Mereka katakan bahawa kononnya kaum muslimin di Habasyah ialah orang-orang yang jahil dan telah mencampakkan agama nenek moyang mereka sendiri, malah membawa agama baharu yang tidak diketahui.
Lalu, mereka meminta supaya diserahkan semula kaum muslimin kerana kononnya mereka lebih mengetahui keburukan yang ada pada kaum muslimin itu.
Namun, Raja Najasyi ingin mendengar penjelasan kaum muslimin terlebih dahulu, secara tidak langsung wakil Quraisy berasa tidak senang.
Sempat pula pembesar Habasyah memujuk Raja Najasyi untuk terus diberi kaum muslimin kerana mereka juga telah diberi ‘hadiah’ daripada kaum Quraisy, tetapi Raja Najasyi menolak dengan tegas!
Nak tahu apa yang dikatakan Raja Najasyi?
“Sungguh, hampir tidak pernah ada suatu kaum yang tinggal bersamaku, hidup di negeriku, dan memilihku sebagai pelindungnya daripada yang lain, kemudian aku melepaskan mereka begitu sahaja, sebelum aku memanggil mereka dan meminta penjelasan terlebih dahulu daripada mereka. Maka aku akan bertanya terlebih dahulu kepada mereka, benarkah apa yang telah dikatakan oleh kedua utusan ini? Jika memang benar, maka aku akan menyerahkan mereka, dan jika tidak, aku akan melindungi mereka dari keduanya, dan aku akan memperlakukan mereka dengan baik selama mereka hidup di daerah kekuasaanku.”
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)