, ,

Raja Najasyi Menangis Ketika Mendengar Ayat Al-Quran!

Sebagai raja negeri Habasyah yang adil, Raja Najasyi memanggil kaum muslimin untuk mendengar penjelasan mereka sendiri setelah ada wakil kaum quraisy ingin supaya mereka pulang semula ke Makkah, kononnya kaum muslimin ini membawa keburukan.

Raja Najasyi turut berada bersama beberapa pendeta yang telah bersedia dengan lembaran-lembaran Injil. Lalu, Raja Najasyi bertanya mengenai apa agama baharu yang membuatkan mereka meninggalkan kepercayaan kaum quraisy, malah tidak pula memeluk agamanya atau agama lain.

Kaum muslimin diwakili Ja’far bin Abu Thalib, dia mengatakan bahawa dahulu mereka adalah jahiliah, lalu diutus kepada mereka seorang Rasul yang sudah dikenali kebaikannya sejak dari dahulu yang mengajak untuk menyembah dan mengesakan Allah, bukan itu sahaja malah memerintah untuk melakukan kebaikan.

Panjang lebar penjelasan Ja’far, namun di akhirnya dia mengatakan bahawa disebabkan kepercayaan mereka itulah menyebabkan kaum quraisy memusuhi dan menyeksa mereka, maka mereka datang ke Habasyah dengan harapan akan diterima di sini dan supaya tidak dizalimi.

Lalu, Raja Najasyi meminta supaya Ja’far membaca sebahagian wahyu yang diturunkan Allah. Dengan izin-Nya, Ja’far membaca ayat awal surah Maryam sehingga tersentuh hati Raja Najasyi dan menangis hingga air mata membasahi pipi, termasuklah juga para pendeta yang berada di situ!

Raja Najasyi mengatakan bahawa apa yang dibacakan tadi berasal daripada sumber yang sama dengan apa yang diwahyukan kepada Nabi Isa. Jadi, Raja Najasyi mengambil keputusan untuk melindungi kaum muslimin dan tidak menyerahkan mereka kepada kaum quraisy di Makkah.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)