,

Ramadan, Mu Tunggu!

Tatkala manusia berpusu-pusu ke pasaraya untuk membuat persediaan hari raya, jangan sesekali kita lupa persediaan menghadapi Ramadan yang bakal tiba.

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi kita akan memasuki bulan yang mulia iaitu bulan Ramadan. Perkara yang paling penting perlu kita ingatkan pada diri ialah hal kematian kerana sesungguhnya ajal maut itu rahsia pemilik alam ini.

Kita tidak tahu, adakah kita berkesempatan untuk bertemu Ramadan atau tidak. Oleh hal demikian, sebelum Ramadan menutup tirai tahun lalu kita akan berdoa kepada Allah SWT.

“Ya Allah! Janganlah Dikau jadikan puasa kali ini sebagai puasa yang terakhir dalam hidupku. Seandainya Dikau menetapkan sebaliknya, maka jadikanlah puasaku ini sebagai puasa yang dirahmati bukan yang sia-sia.”

Sebut sahaja bulan mulia ini terdetik di hati, apakah persediaan kita untuk menghadapinya? Adakah persediaan sama sahaja seperti tahun-tahun sebelumnya atau kita mahu yang lebih baik untuk tahun ini.

Oleh itu, di sini akan dibincangkan beberapa perkara yang anda perlu lakukan. Tiga tunjang asas yang perlu kita lakukan iaitu sebelum, semasa dan selepas Ramadan.

Tiga elemen ini memainkan peranan yang amat penting bagi mencapai target supaya ibadah yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadan diterima serta mendapat redha Allah SWT. InshaAllah, dengan niat ikhlas untuk mencari redha Allah.

******

Sebelum Ramadan

1. Berdoa

Berdoalah agar Allah SWT memberikan kesempatan kepada kita untuk bertemu dengan bulan Ramadan dalam keadaan sihat.

Antara doa yang dituntut ialah:

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata, bahawa Rasulullah SAW apabila masuk bulan Rejab selalu berdoa, “Allahumma bariklana fii rajab wa sya’ban, wa ballighna ramadan.” Ertinya, ya Allah, berkahilah kami pada bulan Rajab dan Sya’ban; dan sampaikan kami ke bulan Ramadan. (HR. Ahmad dan Tabrani)

2. Qada’ / Ganti puasa

Ini merupakan perkara wajib yang perlu anda lakukan. Bab ini tak perlu hurai panjang-panjang kerana anda dah tinggal puasa jadi kena ganti balik. Jangan tak ganti pula.

3. Rencanakan target Ramadan

Setiap tahun saya akan rencanakan apa target saya pada tahun ini. Sebagai contoh, saya nak khatam Al-Quran serta maksudnya sekali, bersedekah, tarawih nak buat 23 rakaat dan sebagainya.

Apa yang anda perlu lakukan ialah ambil sekeping kertas A4 atau paling mudah guna aplikasi dalam smartphone anda. Senaraikan kesemua target anda untuk Ramadan tahun ini.

Biarlah target anda bersesuaian dengan kemampuan anda. Apa guna kalau kita ada target yang banyak tetapi satu pun tidak tercapai.

Semasa Ramadan

1. Checklist Mutaba’ah Amal

Saya sarankan supaya anda dapatkan template Mutaba’ah Amal. Sekarang ini mudah sahaja, anda perlu ‘google’ sahaja. Nah, banyak template yang boleh anda download. Checklist ini merupakan catatan ibadah yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadan.

Dengan catatan ini kita boleh tahu ibadah mana yang kita lebih dan kurang kita lakukan. Oleh hal demikian, ianya boleh ditingkatkan pada bulan seterusnya hingga ketemu kembali bulan Ramadan akan datang.

2. Banyakkan amalan sunat

Bulan Ramadan merupakan bulan yang dilipat gandakan pahala amalan seseorang. Oleh itu, ambil peluang dan ruang ini bagi meningkatkan ibadah kita. Di sini saya nyatakan amalan sunat yang perlu anda banyakkan, antaranya:

  1. Taddarus Al-Quran
  2. Solat Tarawih
  3. I’tikaf
  4. Berzikir
  5. Bersedekah

3. Qiamullai serta bertaubat

Banyakkan solat malam dan memohon ampun kepada Allah SWT. Hal ini kerana ada satu malam ianya lebih baik daripada 1000 bulan iaitu malam lailatul qadar.

Antara hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. maksudnya, “Barangsiapa menghayati malam Lailatul Qadar dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu.”

Dalam masa yang sama kita disarankan membaca doa ini:

“Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni.” Maksudnya, “Ya Allah, Engkau Maha Pengampun dan mencintai orang yang meminta ampun, maka ampunilah aku.”

4. Bayar zakat fitrah

Diberitakan oleh Ibnu Abbas r.a katanya, “Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah (pada bulan Ramadhan) untuk menyucikan bagi orang yang berpuasa daripada segala perkataan yang keji dan buruk, (yang dilakukan ketika berpuasa) dan untuk menjadikan makanan bagi orang-orang yang miskin.” (Riwayat Ibnu Majah)

Pastikan ahli keluarga anda bayar zakat. Jangan tidak bayar pula.

Selepas Ramadan

1. Muhasabah Diri

Muhasabah merupakan sifat hamba Allah yang bertaqwa. Kita merenung kembali diri kita sepajang bulan Ramadan, adakah kita telah beri yang terbaik atau sebaliknya.

Dengan muhasabah, kita dapat melihat dosa-dosa serta maksiat yang telah kita lakukan.

Semoga dengan muhasabah kita dapat menjadi hamba yang bertaqwa. Amin.

2. Istiqamah

Walaupun bulan Ramadan sudah berlalu, jangan kita tinggal segala amalan di bulan Ramadan malah tingkatkan lagi amal ibadah kita. Teruskan istiqamah melakukan puasa sunat yang lain seperti puasa 6 hari Syawal serta puasa Isnin dan Khamis.

******

Semoga segala perkongsian ringkas ini memberi manfaat kepada semua. Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan. Selamat Perpuasa.

Wallahu a’lam.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Hafizee Bin Baharuddin. Pelajar tahun akhir dalam jurusan Robotik dan Automasi di UTeM. Nama pena beliau ialah #kembaraseorangdaie.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.