,

Ibrah Yang Diperoleh Saat Menuju Terawih

“Cepat jom! Kita dah lewat sangat dah ni.” Mira segera memanggil Ain yang masih tercari-cari selipar. Ain kelam-kabut seperti biasa. Jam jelas menunjukkan waktu hampir sekali dengan Isyak.

“Weh! Tunggu aku!” Ain menjerit apabila melihat Mira berjalan laju seperti menurun bukit.

Kedengaran Mira tertawa kecil membelakangi sahabatnya itu. Hari ini mereka hanya melalui jalan singkat ke surau.

Jalan tengah padang di antara dua bangunan. Padang itu dipenuhi rumput dan lalang yang sudah sampai ke aras lutut.

Mungkin hampir raya nanti baru akan dipotong dan dibersihkan. Tidak kiralah bagaimana, langkah mereka harus diteruskan segera untuk tidak ketinggalan berjemaah.

Boom!

Tiba-tiba kedengaran bunyi mengejutkan. Sangat kuat entah dari mana. Ain sedikit melatah sambil memandang wajah Mira. Mereka saling berpandangan.

Boom! Boom!

Berdentam-dentum bunyi itu kedengaran, yang nampak cuma asap. Ain dan Mira berlari-lari kecil menyelamatkan diri.

“Kau rasa tu bunyi apa? Entah-entah…” Mira cuba-cuba meneka.

“Kau jangan macam-macam. Aku rasa mercun tu, budak-budak main ni.” Ain menjawab sambil mengangkat sedikit telekong untuk mengelak lalang.

Boom!

Berbunyi lagi kali ini seakan lebih dekat. Terkocoh-kocoh mereka berlari merentasi padang yang agak panjang itu. Asap dan mercun yang tidak diketahui punca itu mendebarkan mereka.

Akhirnya mereka tiba juga di surau.

“Budak mana kenakan kita ni?” Pertanyaan Ain itu didiamkan Mira.

“Kalau macam inilah rasa takut terkena mercun tu, apa lagi perjuangan anak-anak Palestin, Rohingya dan Syria menuju masjid agaknya. Lagi mencabar!” Ain menambah.

Mira menggeleng-gelengkan kepala. Mukanya pucat. Dia masih lagi berdebar. Penatnya masih belum hilang.

Sampai sudah mereka tidak tahu siapa punya angkara meletupkan mercun di balik semak tersebut.

Namun apa yang mereka tahu, pengalaman dan ibrah kecil ini benar-benar sesuatu. Menetap kemas di sudut hati. Aturan Tuhan tiap satu itukan bersebabkan.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Sesiapa beribadah pada malam Ramadhan kerana iman dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas.(Sahih Muslim, no: 759)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Berasal dari Selangor. Meminati bidang fotografi, suka menulis dan amat gemar membaca. Ikuti perkembangan beliau di blog http://arnamee.blogspot.my/

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%