,

Andai Ini Ramadhan Terakhir Kita

Lukisan sebenar daripada penulis

Ramadhan tahun ini menjelma kembali, dan kita masih terkesima dengan masa yang berjalan begitu pantas sekali.

Serasa baru sahaja meraikan Ramadhan dan Syawal pada tahun lepas, dan kini meraikannya kembali.

Begitulah gambaran betapa di akhir-akhir zaman, di mana seminggu dirasakan bagai sehari, sehari dirasakan bagai sejam dan sejam dirasakan bagai seminit.

Memasuki fasa bulan yang penuh barakah ini, marilah kita merenung kembali surah yang diperintahkan untuk berpuasa, yakni surah al-Baqarah.

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah: 183)

Perintah berpuasa yang Allah turunkan adalah supaya kita turut merasa bagaimana mereka yang berlapar tanpa bekalan makanan, bagaimana fakir miskin merasa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Merasa bagaimana umat Islam di Syria, Palestin yang menahan lapar akibat kekurangan makanan. Perintah ini bukan saja-saja kerana pada akhir dan penghujungnya Allah ingin kurniakan kita semua taqwa.

Dengan diberi nikmat kesihatan dan umur, hari ini Allah masih memberi kita hadiah dan peluang bertemu Ramadhan. Alangkah gembiranya dan bersyukur tatkala ada insan lain yang tidak sempat bertemu Ramadhan, mereka dijemput pulang bertemu Pencipta.

Mungkin mereka juga seperti kita teruja menantikan Ramadhan, sudah merancang untuk membeli makanan apa di bazar, sudah merancang untuk tarawih di masjid mana, sudah merancang untuk melakukan yang terbaik pada Ramadhan kali ini.

Tetapi mereka tidak tahu bahawa mereka tidak sempat untuk melakukan apa sahaja yang dirancang, kerana ajal dan maut tidak siapa yang tahu bila, di mana dan bagaimana.

“Allah jadikan mati dan hidup kita untuk menguji siapa yang paling baik amalnya…” (Surah al-Mulk: 2)

Begitu juga kita, kita sendiri tidak tahu adakah kali ini merupakan Ramadhan terakhir kita. Rata-rata manusia begitu yakin mereka akan bertemu dengan Ramadhan lagi dan lagi, begitu yakin bahawa Allah masih memanjangkan usia mereka.

Lalu kita mengambil sikap sambil lewa, acuh tak acuh menyambut Ramadhan, yang meriahnya cuma hidangan makanan ketika berbuka, tetapi solatnya masih sama di akhir waktu, al-Qurannya masih sama tidak mampu untuk selak helaian mushaf dan dibiarkan sepi.

Solat Subuhnya masih sama lewat sesudah terbit matahari, rumah dan biliknya masih sama bersepah dan tidak kemas, mulutnya masih sama mengumpat membawa fitnah dan sedekahnya masih sama RM1.00 pada tabung masjid sahaja.

Apabila Allah mentakdirkan kita dipanjangkan usia untuk bertemu dengan bulan yang sangat mulia ini, seharusnya kita sujud syukur, tanda betapa beruntungnya kita masih terpilih untuk merebut pahala, menambah bekal di hari akhirat kelak, juga bersyukur untuk memperbaiki segala kelemahan yang kita lakukan pada Ramadhan yang lepas.

Lakukan sehabis baik pada Ramadhan kali ini, kerana mereka yang tidak sempat bertemu Ramadhan pun tidak mengetahui bahawa Ramadhan tahun sebelumnya merupakan Ramadhan terakhir buat mereka.

Andai ini Ramadhan terakhir kita, jadikan ia sangat bermakna. Ketibaan Ramadhan yang dinanti haruslah disambut dengan rumah yang kemas dan hiaskannya dengan cantik  sekali, supaya kita senantiasa bersemangat dan selesa untuk beribadah.

Berazamlah untuk melaksanakan solat tarawih setiap malam walau keadaan kita sibuk sekali pun. Solat tarawih hanya ada di bulan Ramadhan, jangan lepaskan peluang untuk mendapat fadhilat pahala pada setiap malam dari satu Ramadhan hingga ke malam terakhir Ramadhan.

Sekiranya kita dahulu begitu malas untuk tunaikan solat tarawih dek kerana perut yang penuh, Ramadhan kali ini latihlah diri untuk memaksa diri melakukannya.

Sungguh andai ini Ramadhan terakhir kita, sekurang-kurangnya kita berjaya menghabiskan solat tarawih sehingga Syawal menjelma. Mungkin tahun depan kita tidak lagi berkesempatan untuk melakukan solat tarawih.

Andai ini Ramadhan terakhir kita, bersungguh-sungguhlah dalam melakukan ibadah seperti membaca al-Quran. Jika kita masih merangkak-rangkak untuk mengeja huruf-huruf yang terdapat di dalam al-Quran, inilah peluangnya untuk kita mencari asatizah atau kawan-kawan kita yang pandai mengaji.

Masih belum terlambat, andai kita menyedari hakikat bahawa, “Aku tak pandai mengaji, aku kena belajar mengaji, nanti aku nak jawab apa pada Allah.”

Ya, Ramadhan adalah bulan diturunkan al-Quran. Nabi Muhammad yang mulia juga pada asalnya tidak tahu membaca sehinggalah Allah turunkan surah al-Alaq, “Iqra’’ iaitu “bacalah”.

Jangan pernah rasa terlambat atau tidak sempat untuk belajar membaca al-Quran, selagi Allah mengurniakan kita umur yang panjang dan rezeki kesihatan, selagi itulah peluang untuk belajar masih terbuka.

Rasulullah SAW bersabda: “Tuntutlah ilmu sejak dari buaian sampai ke liang lahad.”

Masa yang ada kita isikan dengan membaca al-Quran. Jadikan ia budaya, kelak ia mendidik kita di bulan-bulan seterusnya supaya berasa seronok untuk membaca al-Quran dan menjadikannya sebagai bestfriend kita.

Andai ini Ramadhan terakhir kita, berebut-rebutlah untuk mencari pahala sebanyak mungkin sebagai bekalan untuk hari akhirat kita. Carilah ruang untuk bersedekah kerana ganjaran mereka yang bersedekah di bulan Ramadhan, Allah lipat gandakan.

Jika sebelum ini seringkali berlaku pembaziran ketika berbuka, maka kurangkanlah hidangan dan juadah berbuka.

Jika sebelum ini selepas bersahur tidur semula, gunakanlah masa yang ada untuk menunaikan solat sunat dua rakaat dan bertadarus al-Quran sementara menanti azan Subuh.

Jika sebelum ini waktu siang kita di bulan Ramadhan lebih banyak diperuntukkan untuk tidur, tukarkan ia kepada sesuatu yang bermanfaat dan produktif. Usia yang meningkat jelas merasakan akan kematian semakin menghampiri kita.

Jika dahulu sewaktu usia kanak-kanak, kita seronok menyambut Ramadhan disebabkan kerana akan dapat bermain bunga api, dapat membeli makan kegemaran di bazar, dan begitu teruja menanti Syawal untuk mengutip duit raya sekiranya berpuasa penuh. Tetapi tidak lagi sewaktu usia kita semakin menginjak dan bertambah.

Apa yang terfikir di hati kita cuma:

“Adakah aku sudah lakukan sehabis baik untuk Ramadhan?”

“Adakah ini Ramadhan terakhir aku?”

“Tahun depan ada lagi ke Ramadhan untuk aku?”

Sewaktu akhbar memaparkan kisah adik-adik tahfiz yang maut dalam kemalangan di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, kita seharusnya merasa kagum kerana pemergian mereka sebagai ahli syurga yang sudah menghafal al-Quran, malah pemergian mereka yang husnul khatimah di dalam perjalanan untuk ke daurah tafsir al-Quran.

“Mati di bulan Ramadhan dengan keredhaanNya.” – arwah adik Hakimi.

Ini merupakan azam Ramadhan salah seorang yang maut. Kini, Allah memakbulkan doanya. Allahu, bagaimana pula pengakhiran hidup kita kelak? Buat jiwa-jiwa yang telah bertemu Pencipta, Allah berfirman:

“Wahai jiwa-jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu. Dan masuklah ke dalam syurgaKu.” (Surah al-Fajr)

Marilah kita bersama-sama all out atau buat sehabis baik andai pada tahun ini merupakan tahun terakhir kita menyambut Ramadhan. Jangan pernah persiakan peluang dan hadiah yang Allah berikan kepada kita.

Sebulan yang Allah beri adalah masa terbaik untuk kita meninggalkan segala jahiliah yang bersarang di dalam diri kita.

Meninggalkan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat untuk hari akhirat kita, masa terbaik untuk kita merenung dan bermuhasabah sejauh mana kita sudah menghargai Ramadhan.

Sejauh mana amal ibadah yang telah kita lakukan? Jika masih sama dan tiada perubahan, maka bersegeralah! Sungguh, kematian itu tidak mengenal usia,tidak mengenal pangkat mahupun status kesihatan anda.

Berbaki beberapa hari lagi, masih belum terlambat, ayuh lakukan pecutan. Buat sehabis baik.

Berusahalah merebut malam al-Qadr yakni malam yang lebih baik daripada seribu bulan, kerana hari esok belum tentu milik kita, kerana tahun hadapan belum tentu sempat bertemu dengan bulan yang penuh barakah ini.

Inilah madrasah tarbiah Ramadhan, semoga keluarnya kita daripada madrasah ini dengan membawa segulung ijazah taqwa, biiznillah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Syaahidah binti Salim. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan lulusan ijazah bioperubatan di Management Science University (MSU).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.