Bulan Ramadhan syaitan diikat, dan nafsu dapat lebih dikawal, ini kerana pemakanan dan percakapan kita juga terkawal.
Kita menjadi lebih rajin beribadah. Lebih bersemangat untuk berbuat baik. Namun bagaimana kita mahu kekal begitu di bulan lain?
Di bulan selain nafsu dan hal dunia beraja di hati, syaitan dilepaskan pula ikatannya.
Doa dan niat untuk terus istiqamah
Daripada Abdurrahman bin Auf radhiallahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyebut bulan Ramadhan seraya bersabda: “Sungguh, Ramadhan adalah bulan yang diwajibkan Allah puasanya dan kusunatkan solat malamnya. Maka barangsiapa menjalankan puasa dan solat malam pada bulan itu karena iman dan mengharap pahala, nescaya bebas daripada dosa-dosa seperti saat ketika dilahirkan ibunya.” (Hadith Riwayat An-Nasa’i)
Doalah supaya hati kita tidak berbolak balik. Seperti hadis di atas dikongsikan siapa yang berpuasa siang dan bersungguh solat malam, dia seperti baru dilahirkan.
Jadi bersungguh-sungguhlah untuk membiasakan terus beribadah sebelum ini di samping berdoa untuk dikuatkan hati.
Niatlah, benar kita mahu berubah kepada lebih baik. Jika berpeluang dapat kawan dan persekitaran yang baik sebelum ini, kekalkan terus begitu.
Doa supaya ditetapkan hati.
اَللَّهُمَّ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ, ثَبِّتْ قَلْبِيْ عَلَى دِيْنِك
(Allahumma ya Muqollibal-quluub, thabbit qolbi `ala dinika)
“Ya ALLAH, Tuhan yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku pada agama-MU.”
Berdisplin dan sentiasa menambah ilmu
Terus berlatih, menjaga sikap apabila berdepan dengan orang lain, dan menambah ilmu. Rajinkan diri menghadiri majlis ilmu dan membaca buku yang sesuai.
Jika kita tidak perbaiki hidup kita sendiri, tiada manusia lain yang mampu berbuat apa, mereka hanya mampu menasihati sahaja. Ikhlaskan hati, perlahan-lahan pasti kita mampu untuk terus bertahan dan memperbaiki.
Boleh mulakan dengan puasa sunat Syawal, puasa sunat Isnin Khamis, solat-solat sunat, selalu membaca al-Quran dan perbanyakkan lagi bersedekah.
Sentiasa muhasabah diri
Bersyukurlah dengan peluang yang kita ada. Jangan fikir apa sangat orang kata (kadangkala mungkin hanya sangkaan kita saja), teruskan dengan tujuan kita hidup.
Sentiasalah melihat diri. Sudah sejauh ini melangkah. Sudah banyak kita usahakan, jadi hargailah hidayah ini, untuk tidak mengulangi kesilapan lalu.
Perbanyakkan zikir dan istighfar. Tetapkan matlamat hidup untuk jangka panjang lagi.
Ingatlah, kita bukan hamba Ramadhan, kita hamba Tuhan.
Daripada ’Aisyah radhiyallahu ’anha, beliau mengatakan bahawa Rasulullah shallallahu ’alaihi wasallam bersabda, ”Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”
Moga kita semua dipermudahkan. InsyaAllah.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Berasal dari Selangor. Meminati bidang fotografi, suka menulis dan amat gemar membaca. Ikuti perkembangan beliau di blog http://arnamee.blogspot.my/.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.