,

Teruskan Tradisi Keilmuan Bukan Untuk Kebanggaan

“Cik… hasil daripada pemerhatian, cara cik berjalan penuh kredibiliti, segak, berkeyakinan dan transkrip cik sungguh memberansangkan. Ianya bagus dan hebat, tetapi kami terpaksa untuk menolak permohonan cik,” kata panel dengan nada yang rendah dan agak perlahan.

“Kenapa ya saya terpaksa ditolak, sedangkan saya telah belajar sehabis baik untuk mengekalkan pointer saya sebaik ini,” jawab calon dengan nada yang penuh yakin.

“Maaf cik, daripada pengamatan panel, fail yang cik kemukakan ini menunjukkan kualiti yang tidak selari dengan kehendak kami. Cik seorang yang mempunyai kemahiran komunikasi yang bagus tapi kurang beretika dan percakapan cik sungguh prejudis. Cik juga seorang yang sangat komited mencari pengalaman pekerjaan tapi cik hanya melibatkan diri dengan nilai kormesial sesama insan, Malahan cik juga banyak memenangi anugerah tapi cik tidak memberikan sumbangan yang maksimum dalam aktiviti sosial. Maka, kami putuskan untuk tidak dapat memberikan pekerjaan ini kerana kami perlu memilih yang lebih berkualiti berbanding pencapaian.”

Ulasan akhir dari panel dengan nada yang cukup tegas serta laporan yang panjang berjela diserahkan kepada calon.

Dunia dan segala isinya ini Tuhan jadikan sangat luas untuk didiami, memakmurkannya dan boleh menyebarkan seluruh kebaikan.

Alangkah indahnya jika kita memahami kehendak Tuhan dengan berbuat baiklah seolah-olah esok bukan untuk kita.

Dialog tersebut boleh menggambarkan betapa pendidikan hari ini harus berubah dalam semua keadaan yang boleh meraikan kepelbagaian tanpa rasa prejudis, tanpa rasa bangga, tanpa rasa tertekan, tanpa rasa terkongkong dan segala yang berbaur negatif untuk dirasai.

Hari Pertama Kuliah

Tatkala kaki menjejakkan pada hari pertama perkuliahan, dengan nafas yang termengah-mengah menaiki tangga. Akhirnya bila wajah pelajar kelihatan, senyuman pertama diukir dengan rasa penuh muhibah.

Inilah dunia pendidikan, penuh warna -warni dengan matlamat meningkatkan kualiti anak bangsa untuk mendepani cabaran yang jauh tidak tergambar.

Soalan pertama menerpa di bilik kuliah pertama. “Puan, bagaimanakah cara kita akan belajar? Apakah kami akan memperolehi pengetahuan atau perubahan dalam kursus ini? Kualiti soalan sebegini sukar diperolehi sebenarnya. Ini hanya soalan yang diimaginasikan kerana realistiknya soalan yang biasa diajukan ialah adakah kursus ini boleh dapat A? Bagaimana saya boleh dapat A? PB biasanya boleh dapat A kah? Carry Marks boleh penuh?”

Oh… sayang… sukarnya memberi keputusan berdasarkan awal kuliahmu. Jika kamu berkehendak untuk belajar sesuatu itulah yang akan menentukan kualitimu.

Jika kamu tidak mengeluh untuk menyuarakan pandangan itulah yang akan menentukan kualitimu.

Jika kamu berazam untuk sentiasa menghadiri kuliah maka itu jugalah yang menentukan kualitimu.

Jika kamu mendengar ilmu dan berkongsi ilmu itulah juga yang menentukan kualitimu.

Jika kamu rajin meneroka dan berbincang dengan gurumu itulah yang akan mengukuhkan kualitimu.

Jika kamu berusaha untuk membantu rakanmu dan berbuat baik sesama insan maka semuanya akan menjaga kualitimu.

Inilah sebahagian daripada perubahan yang perlu kamu lalui sepanjang pencarian ilmu dan kehidupan.

Penerusan sesi perkuliahan

Hari demi hari dan minggu demi minggu sehingga berakhirnya semester. Nilai ilmu semakin tinggi atau tiada apa pun berubah.

Sebagai guru, niat yang tulus dalam membantu pelajar harus diperolehi setiap hari dengan doa yang tidak putus.

Bukan mudah untuk menilai sikap pelajar dengan skala pengukuran.

Namun, berikanlah pujian setiap kali pelajar menyumbang idea, mengemukakan pandangan dan perbetulkanlah persepsi dengan memperbanyak isu dan penyelesaian masalah.

Hal ini kerana, ia dapat memupuk minat dan ingin tahu pelajar dalam setiap perkara yang diperolehi.

Rasa Ingin Tahu

“Kenapa saya perlu meneruskan kuliah? Apa manfaat kuliah ini untuk masa depan saya? Jika saya tak dapat A, saya hanya dapat kerja kelas bawahan sahaja? Saya perlu duduk bersama rakan kumpulan yang selalu dapat markah tinggi sebab carry marks nanti pasti boleh bantu…”

Sungguh sukar menjawab setiap ramalan soalan tersebut. Hai la anak didikku… perjalanan ilmu itu sangat jauh.

Tuhan minta kita bersungguh-sunguh sehinggakan ilmu itu suatu tuntutan fardhu. Tuhan tidak pernah memberitahu gred itu adalah kesudahan yang baik dan bagus.

Ia hanya bonus bagi mereka yang dianugerahkan kepandaian. Nilailah barakah yang bukan hanya dipandang sepi sebagai sudut pandang agama, tapi ianya suatu nikmat yang tidak terbalas di dunia.

Namun, semakin tinggi nilai rasa ingin tahu, semakin luas kita meneroka dan memahami nilai dan ujian kehidupan. Semangat yang kuat adalah hasil daripada kerapnya Tuhan menguji untuk memberi ilmu dan pengalaman.

Rasa puas dengan kebaikan, rasa pilu dengan kejahatan perlukan pengamatan yang mendalam supaya diri kita tidak tertipu dengan kebaikan dan kejahatan.

Pernahkah kita merasakan pada diri bahawa aku meniru tugasan rakan, menumpang tugasan rakan, membiarkan tugasan dibuat oleh ahli kumpulan tanpa sebarang sumbangan, banyak alasan untuk tidak bekerjasama dalam membuat tugasan dan kita pun bangga dengan gred yang diperolehi tanpa rasa bersalah.

Makanya, hati-hatilah wahai anak bahawa Tuhan mengajarkanmu tentang bezanya suatu nikmat dan buruknya pintu istidraj.

Banggalah dengan keupayaan dan berbahagialah…

Berbangga berpada-pada, merendah diri usah berserah. Bilamana setiap perkara cuba diusahakan maka berilah penghargaan terhadap diri dengan rasa syukur.

Nilai tawakal adalah sesuatu yang penuh harapan namun keputusan hanya 50-50. Jika baiklah untuk kita di dunia dan akhirat maka lorongkanlah, Jika tidak akan membantu kita di dunia mahupun akhirat maka berilah hikmahnya.

Buatlah apa yang gurumu mahu jika kamu tidak nampak kebaikannya maka gurumu itu lebih mengetahui kebaikan itu.

Rundinglah apa yang gurumu mahu kerana dengan berbincang dan berdialog dengannya pasti akan lebih mengukuhkan kefahaman ilmumu. Malah, ia dapat merapatkan hubungan silaturahim yang baik untuk masa depanmu.

Peliharalah hubungan sesama manusia dengan penuh hikmah dan kasih sayang. Anggaplah kemarahan dan nasihat yang diberi adalah untuk bekalan kemudian hari.

Selamat menjalani ibadah ilmu dan meneruskan tradisi keilmuan bukan untuk kebanggaan. Namun, untuk mendidik rasa hati agar sentiasa mencintai perjalanan ilmu yang luas dan merasakan bahawa diri kita semakin kecil berbanding kemuliaan Tuhan.

Man Jadda Wajada. Siapa yang berkehendak dengan Ilmu maka sebarkanlah nikmat sejahtera dan bahagia.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Afifah Binti Saharudin. Beliau merupakan seorang pensyarah di Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.