,

Putuskan Rantai Fitnah Itu!

Agama Islam menerusi syariat yang dibawanya bersikap sangat tegas terhadap isu fitnah.

Hal ini dapat kita lihat melalui pensyariatan hukuman bagi perbuatan qazaf.

Apa itu qazaf?

Secara mudahnya, qazaf bererti satu perbuatan menuduh seseorang melakukan zina, liwat atau penafian nasab.

Qazaf juga boleh difahami sebagai perbuatan fitnah.

Fitnah yang tersangatlah besar sehingga menuduh seseorang melakukan perbuatan yang tercela.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

“Dan orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebatan, dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasiq.” (QS Al-Nur 24: 4)

Perbuatan qazaf boleh menyebabkan pelakunya dihukum dengan hukuman hudud iaitu disebat sebanyak 80 kali sebatan serta digugurkan kesaksian mereka.

Lihatlah, betapa Islam memelihara maruah umatnya daripada menjadi mangsa kepada fitnah yang melampau.

Fitnah Umpama Rantai 

Kita juga perlu memahami bahawa fitnah diumpamakan sebagai seutas rantai.

Apabila munculnya sesuatu fitnah, ia akan tersebar.

Semakin jauh fitnah tersebut tersebar, semakin panjanglah rantaian fitnah tersebut.

Ditambah pula dengan kemajuan teknologi dan media massa hari ini, tidak dapat dibayangkan sejauh mana fitnah tersebut mampu tersebar.

Ya, fitnah umpama rantai. Rantai yang bertaut kemas selagi tiada sesiapa yang memutuskannya.

Selagi rantaian fitnah tidak diputuskan, maka selagi itulah fitnah akan terus tersebar dan subur.

Apabila si A membuat suatu fitnah terhadap si B, maka fitnah tersebut akan disebarkan kepada si C.

Kemudian, si C pula akan menyampaikan kepada rakannya dan seterusnya sehingga akhirnya membentuk suatu rantaian fitnah yang tidak berpenghujung.

Pelan Tindakan

Sebagai Muslim, kita sudah tentu ingin menjauhkan diri daripada terjebak ke dalam kancah fitnah yang kotor ini.

Namun begitu, kadangkala kita tidak mengetahui cara untuk melakukannya.

Terdapat tiga cara yang kita boleh lakukan berdasarkan konsep yang telah dijelaskan sebelum ini.

Apa yang penting, kesemua pelan tindakan ini tidak akan berkesan tanpa keinginan yang jitu ingin mengubah sikap terlebih dahulu.

1. Jangan Jadi Pemfitnah

Sebagaimana yang telah disebut sebelum ini, faktor sikap adalah pendorong kepada seseorang untuk menjadi pemfitnah:

  • Sikap suka mengadu domba menyebabkan seseorang sanggup memfitnah orang yang tidak bersalah.
  • Sikap pemarah dan mudah naik angin boleh menyebabkan seseorang itu bertindak di luar kawalan sehingga menyebabkan kematian.
  • Sikap tidak selidik sebelum menyebarkan berita boleh menyebabkan fitnah dilemparkan secara berleluasa kepada pihak yang tidak bersalah. Semua itu berkait dengan sikap. Perbaiki sikap agar dapat mengelak diri daripada menjadi penyebab dan penabur fitnah.
  • 2. Jangan Jadi Penyebar Fitnah

    Inilah yang agak sukar untuk dilakukan.

    Jikalau fitnah sudah berleluasa, hanya satu sahaja cara yang boleh dilakukan.

    Cara tersebut ialah jangan sebarkan atau dengan kata lain, jangan ambil peduli tentangnya.

    Dengan adanya golongan cybertroopers di alam maya kini, amat sukar untuk membezakan yang mana kaca dan yang mana permata.

    Sebaran berita berunsur fitnah berlaku dengan begitu pantas, lebih-lebih lagi melalui media sosial seperti aplikasi WhatsApp, Facebook, Twitter dan sebagainya.

    Sepatutnya, selidik dahulu kesahihannya sebelum membuat sebarang keputusan.

    Apabila kita mengambil tindakan seperti di atas, kita sebenarnya telah memutuskan rantaian fitnah tersebut.

    Apabila rantaian fitnah sudah terputus, sekurang-kurangnya berkuranglah seorang penyebar fitnah.

    Selidik Dulu, Percaya Kemudian Sudah menjadi budaya masyarakat kita hari ini iaitu percaya dulu, selidik kemudian.

    Apa-apa sahaja berita yang sampai tidak kiralah melalui lisan ataupun aplikasi moden, terus sahaja dipercayai.


    Betul atau tidak sesuatu berita itu langsung tidak dipedulikan. Inilah masalahnya.

    Akibatnya, fitnah akan tersebar dengan mudah.

    Misalnya, jika sesuatu kiriman mesej sampai kepada kita melalui aplikasi WhatsApp di telefon pintar kita.

    Kita dapati di penghujung kiriman tersebut tertulis nota, Sila sebarkan mesej ini kepada 10 orang kenalan kamu. Jika tidak, anda akan ditimpa bencana.

    Dek kerana berasa takut, kita pun terus menghantar kiriman tanpa menyelidik terlebih dahulu kesahihannya.

    Boleh jadi kandungannya berisi hadis-hadis palsu atau fitnah.

    Namun, apabila kesan daripada fitnah itu sudah mulai kelihatan, barulah hendak diselidik pula berita tersebut.

    Alangkah anehnya sikap sebegitu.

    Walhal, kita boleh bertindak menapis setiap berita yang sampai kepada kita dengan cara “selidik dulu, percaya kemudian.”

    Mudah bukan? 

    Bak kata pepatah, “mencegah lebih daripada mengubati.”

    Rujukan:

    Al-Qur'anul Karim, Surah Al-Nur 24: Ayat 4