Rasulullah sering berkumpul bersama Ahlu Shuffah, iaitu orang-orang Islam yang tinggal di bahagian beranda belakang Masjid Nabawi.
Baginda akan mengunjungi mereka, menyembuhkan orang sakit dalam kalangan mereka, mengajarkan Al-Quran, memberikan nasihat dan mengajak mereka supaya sentiasa mengingati Allah da hari akhirat.
Namun, bagaimana pula dengan nafkah Ahlu Shuffah, makan minum mereka?
- Sedekah kepada Rasulullah diserahkan kepada Ahlu Shuffah
Jika ada sedekah yang diberi kepada Rasulullah, Baginda tidak menggunakannya walau sedikit pun, lalu diberikan kepada mereka.
Jika ada hadiah yang diberi kepada Rasulullah, Baginda akan membahagikannya dan menikmatinya bersama-sama mereka.
- Rasulullah mengajak mereka makan di salah satu rumah isteri Baginda
Baginda bersabda: “Sesiapa yang mempunyai makanan untuk dua orang maka ajaklah orang ketiga. Sesiapa yang mempunyai makanan untuk empat orang maka ajaklah orang kelima, atau orang keenam.”
Dalam riwayat lain, ada menyatakan bahawa Abu Bakar datang dengan tiga orang, dan Rasulullah pergi bersama sepuluh orang.
- Rasulullah mengutamakan keperluan mereka daripada keperluan lain
Suatu hari, Fatimah anaknya datang bertemu Baginda dan meminta dicarikan pembantu, maka Baginda menjawab: “Demi Allah, aku tidak akan memberikannya kepada kamu dan membiarkan penghuni Shuffah kelaparan lantaran aku tidak dapat memberi mereka apa-apa. Aku akan menjual hamba-hamba itu dan wangnya akan aku berikan kepada penghuni Shuffah.”
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)