Abu Hurairah adalah antara sahabat nabi yang paling banyak menyampaikan hadith.
Sebab apa? Sebab… Abu Hurairah memilih untuk menjadi Ahlu Shuffah di Masjid Nabawi supaya sentiasa dapat bersama dengan Rasulullah.
Meskipun Abu Hurairah mempunyai rumah di Madinah, bukan orang miskin dan mampu untuk tidak tinggal di Shuffah di Masjid Nabawi, tetapi dia yang memilih sebegitu.
Abu Hurairah tidak mahu kehilangan ilmu dan amal daripada Rasulullah, jadi dia tidak dapat melakukan sedemikian kecuali apabila sentiasa dekat dengan Rasulullah.
Golongan Ahlu Shuffah sentiasa beriktikaf di Masjid Nabawi untuk melakukan ibadah, malah mereka berasa senang untuk hidup miskin dan zuhud. Mereka sentiasa menunaikan solat, membaca Al-Quran, dan berzikir kepada Allah.
Mereka juga tidak ketinggalan dalam berjihad, malah ada di antara mereka yang mati syahid ketika dalam peperangan.
Ahlu Shuffah tidak tetap bilangan ahlinya, terkadang sedikit, terkadang banyak, bergantung kepada situasi seperti ada yang sudah mendapat saudara atau isteri di Madinah, mendapat kemudahan, atau yang mati syahid.
Mereka memilih untuk menjadi miskin, bukan bermaksud mereka hanya berdiam diri dan tidak bekerja. Al-Zamakhsyari berkata: “Sesungguhnya mereka membelah biji-bijian pada waktu siang hari.”
Secara tidak langsung, ia menunjukkan bahawa Ahlu Shuffah bekerja antaranya ada yang mengambil upah membelah biji untuk memberi makan kepada haiwan ternak orang lain.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)