, ,

Persiapan Rasulullah Sebelum Berhijrah

Suatu ketika, Rasulullah mendatangi rumah Abu Bakar pada waktu tengah hari yang mana kebiasaannya Baginda tidak datang pada waktu itu, jadi Abu Bakar berkata: “Tidaklah Rasulullah datang pada saat seperti itu melainkan ada sesuatu masalah penting.”

Kemudian, Rasulullah menyampaikan hasrat kepada Abu Bakar untuk berhijrah bersamanya, yang mana pada ketika itu ada juga anak Abu Bakar iaitu Aisyah dan Asma’.

Ketika diajak untuk berhijrah bersama Baginda, Abu Bakar terus menangis kerana terharu dan gembira. Setelah itu, Abu Bakar mempersiapkan dua tunggangan untuk keperluan hijrah.

Mereka juga mengupah Abdullah bin Uraiqid iaitu seorang lelaki musyrik sebagai penunjuk jalan selama dalam perjalanan ke Madinah.

Aisyah dan Asma’ iaitu anak kepada Abu Bakar mempersiapkan bekalan makanan dan diisi pada kantong kulit, kemudian Asma’ juga memotong syal miliknya kemudian mengikatnya pada mulut kantong kulit tersebut, sebab itu Asma’ digelar sebagai Zat An-Nuthaqain yang bermaksud ‘wanita yang mempunyai dua tali pengikat pada pinggangnya’.

Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi di dalam gua di bukit Tsur selama tiga malam. Turut bermalam bersama mereka ialah Abdullah iaitu anak remaja lelaki Abu Bakar.

Abdullah berperanan untuk bermalam di bukit Tsur dan pada awal pagi keluar untuk bersama masyarakat di Makkah bagi mengambil tahu sebarang rancangan jahat yang ingin dilakukan kafir Quraisy.

Setelah petang, dia akan pergi ke bukit Tsur semula untuk menyampaikan berita kepada Rasulullah dan Abu Bakar.

Setelah tiga malam di bukit Tsur, Rasulullah bersama yang lain berangkat ke Madinah dan melalui jalan pantai iaitu jalan yang tidak biasa dilalui kafir Quraisy.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)