, ,

Khemah Ummu Ma’bad Disinggahi Rasulullah

Dalam perjalanan hijrah dari Makkah ke Madinah, bersama Rasulullah ialah Abu Bakar, Amir bin Fuhairah (pembantu Abu Bakar), dan Abdullah bin Uraiqith (penunjuk jalan).

Mereka melintasi dua khemah Ummu Ma’bad iaitu seorang wanita tua namun masih lagi kuat. Rombongan Rasulullah bertanyakan jika Ummu Ma’bad ada menjual daging dan kurma untuk dimakan, tetapi tiada.

Lalu, Rasulullah terlihat seekor kambing milik Ummu Ma’bad dan meminta untuk diperah susunya, lalu diizinkan Ummu Ma’bad sekiranya ada susu kerana dia tahu kambing itu tidak memiliki susu.

Rasulullah berdoa dan mula memerah susu, dengan izin Allah maka kambing itu keluarkan begitu banyak susu sehingga melebihi muatan bekas.

Rasulullah bersama rombongan minum bergilir-gilir, kemudian Rasulullah turut memberi kepada Ummu Ma’bad. Dia yang menyaksikan kejadian itu berasa hairan.

Setelah mereka menyambung perjalanan hijrah ke Madinah semula, Abu Ma’bad iaitu suaminya pulang dan berasa pelik bagaimana boleh ada susu di khemah mereka.

Lalu, Ummu Ma’bad bercerita secara terperinci mengenai apa yang berlaku malah memberitahu ciri-ciri yang ada pada Rasulullah seperti fizikal tubuh badannya, penampilannya, ucapannya, malah kepimpinan Rasulullah iaitu apabila Baginda bercakap sesuatu maka yang lain mendengar dengan tekun dan apabila menyuruh sesuatu maka yang lain bersegera mengerjakannya.

Apa respon suaminya? Abu Ma’bad berkata: “Demi Allah, dia adalah orang Quraisy yang pernah menyampaikan kepada kita di Makkah perihal perkara yang dia bawa. Sungguh aku sangat ingin bersamanya. Dan sungguh akan aku lakukan itu jika aku memiliki peluang menemuinya.”

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)