, ,

Kaum Musyrikin Gagal Membunuh Rasulullah..

Kaum Quraisy telah melakukan pelbagai usaha untuk menghalang para sahabat daripada berhijrah ke Madinah, tetapi masih tidak berjaya. Mereka semakin risau kerana ia akan memberi kesan kepada ekonomi dan hubungan sosial mereka di sisi seluruh kablilah Tanah Arab.

Lalu, apa yang mereka lakukan? Para pemimpin Quraisy berkumpul di Dar An-Nadwah untuk berbincang mengenai masalah yang mereka hadapi, iaitu untuk membunuh Rasulullah yang pada ketika itu masih lagi berada di Makkah.

“Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.” (Surah Al-Anfaal 8:30)

Allah memberitahu perancangan jahat kafir Quraisy kepada Rasulullah. Setelah itu, pada malam yang telah dirancang, Ali bin Abu Talib ditugaskan untuk menggantikan Rasulullah di tempat tidurnya. Tidak beberapa lama selepas itu, mereka terus menyerang rumah Rasulullah.

Apa yang berlaku? Mereka tidak menjumpai Baginda, tetapi yang ada ialah Ali bin Abu Talib. Mereka bertanya, di mana Rasulullah, tetapi Ali menyatakan bahawa dia tidak tahu.

Lalu, mereka berusaha mengikut jejak Rasulullah sehingga sampai ke gunung. Mereka juga menaiki bukit dan sempat melintasi gua tempat Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi, tetapi yang mereka lihat hanyalah sarang labah-labah yang berada di pintu gua sehingga mereka beranggapan bahawa tiada siapa di situ.

Mereka berkata: “Seandainya dia masuk ke dalam gua ini, tentunya tidak akan ada jaring labah-labah di sini.”

Rasulullah dan Abu Bakar telah bersembunyi di situ selama tiga malam. Sungguh, Allah telah melindungi mereka!

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)