,

Persiapan Kaum Muhajirin Sebelum Hijrah Ke Madinah

Hijrah bukanlah suatu rekreasi atau majlis yang menyenangkan. Sebab apa? Sebab mereka terpaksa meninggalkan keluarga, saudara-mara, sahabat dan harta.

Namun, mereka sanggup tinggalkan semua itu demi sebuah keyakinan terhadap ajaran Islam yang dibawa Rasulullah.

Antara sarana yang menjadi kekuatan untuk para sahabat berhijrah adalah:

  • Pendidikan iman yang telah diterapkan oleh Rasulullah.
  • Penindasan yang dialami mereka sehingga mereka yakin untuk berhijrah asbab sukar untuk hidup bersama dengan orang kafir di Makkah pada ketika itu.
  • Menghayati ayat Al-Quran yang diturunkan di Makkah iaitu berkaitan hijrah.

“Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu):

“Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat).

dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas).

Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira”.”

(Surah Az-Zumar 39:10)

  • Menghayati kisah berkaitan Ashabul Kahfi yang diceritakan di dalam Al-Quran, iaitu kisah para pemuda yang beriman dan hijrah meninggalkan tanah kelahiran mereka menuju ke gua.
  • Menghayati ayat Al-Quran yang secara jelas membahas tentang hijrah.

“Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam),

Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik; dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui.”

(Surah An-Nahl 16:41)

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)