,

Rasulullah Diperlihatkan Tempat Hijrah Kawasan Kebun Kurma (Madinah)

Tujuan hijrah ke Madinah adalah untuk mendirikan negara Islam yang dapat memikul tugas dakwah dan berjuang di jalan-Nya tanpa perlu ada penyeksaan seperti di Makkah.

Para sahabat mengadu tentang seksaan yang semakin teruk oleh kafir Quraisy, sehingga pada saat yang sesuai Rasulullah mengizinkan mereka untuk berhijrah.

Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya telah diperlihatkan kepadaku tempat tujuan hijrah kamu, yang memiliki kebun kurma (tanah berair) yang terletak di antara dua dataran yang subur.”

Setelah beberapa hari Baginda mendiamkan diri, lalu keluar bertemu para sahabat dengan penuh kegembiraan dan bersabda: “Aku telah mendapatkan berita tentang negeri tempat hijrah kamu, tempat itu adalah Yatsrib (Madinah). Maka sesiapa yang ingin pergi, hendaklah pergi ke tempat tersebut.”

Sahabat pertama yang berhijrah ke Madinah ialah Abu Salamah bin Abdul Asad, diikuti oleh Amir bin Rabi’ah dan isterinya Laila binti Abu Hathmah yang merupakan wanita pertama berhijrah ke Madinah. Setelah itu, ada pula beberapa sahabat yang lain.

Golongan Anshar memberi layanan yang begitu baik kepada golongan Muhajirin, bahkan memberi mereka tidur di rumah dan menghulurkan bantuan yang sepatutnya.

Sahabat nabi yang bernama Salim iaitu pembantu Abu Huzaifah, menjadi pemimpin kaum Muhajirin di Quba, sebelum kedatangan Rasulullah.

Ketika peristiwa hijrah para sahabat ini diketahui, kafir Quraisy begitu memarahi mereka kerana kaum muslimin telah mendapat perlindungan di tempat yang lain.

Pada ketika itu, semua kaum muslimin pergi ke Madinah kecuali Rasulullah, Abu Bakar As-Siddiq, Ali bin Abu Talib, dan orang-orang sakit atau tidak berdaya untuk berhijrah.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)