, ,

Perpaduan Asas Kesejahteraan

Semua agama menyeru penganutnya untuk hidup bersatu padu. Begitu juga dengan agama Islam yang sangat menekankan perpaduan dalam amalan kehidupan.

Penganut agama Islam di Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, India, Cina dan sebagainya. Usaha untuk mewujudkan perpaduan antara kaum amat sukar kerana setiap kaum mempunyai budaya, adat dan gaya hidup yang berbeza.

Perpaduan dan persefahaman yang baik amat penting untuk menjamin kehidupan yang sejahtera.

Oleh itu, langkah yang efektif perlu dilakukan bagi membina perpaduan yang utuh dalam kalangan masyarakat.

Antara langkah yang perlu diambil termasuklah masyarakat mestilah menghayati sejarah persaudaraan dalam Islam. Penghayatan tentang kisah persaudaraan terdahulu amat penting untuk dijadikan contoh.

Sebagaimana yang kita tahu, kaum Muhajirin dan Ansar merupakan dua puak yang berbeza asalnya dan mereka langsung tidak mengenali antara satu sama lain.

Apabila kaum Muhajirin tiba di Madinah, kaum Ansar menyambut baik kehadiran mereka. Mereka bertolak ansur berkongsi kehidupan dalam sebuah negara yang sama dengan melupakan perbezaan yang mereka miliki.

Kita perlu mencontohi kisah ini agar nilai persefahaman dan kesepakatan dapat disuburkan dalam kehidupan masyarakat yang berbilang kaum.

Di samping itu, pemimpin perlu menjadikan Nabi Muhammad sebagai teladan utama. Nabi Muhammad merupakan ikon yang wajar diteladani oleh pemimpin dalam usaha menyemai semangat perpaduan rakyatnya.

Hal ini demikian kerana kepimpinan Rasulullah telah berjaya menyatukan banyak pihak.

Sebagai contoh, Rasulullah mampu meleraikan pergaduhan antara ketua-ketua kaum dalam peristiwa pembinaan semula kaabah.

Ketua-ketua tersebut bukan sahaja berhenti bergaduh, malah mereka boleh bekerjasama sebagai satu pasukan untuk mengembalikan hajarul aswad ke tempat asalnya. Benarlah kata cendekiawan bahawa pemimpin adalah cerminan rakyat.

Oleh itu, pemimpin mestilah mengamalkan sifat-sifat yang boleh mewujudkan perpaduan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah.

Seterusnya, masyarakat haruslah mengelakkan diri daripada mempersoalkan isu-isu sensitif bagi sesetengah kaum sebagai langkah mewujudkan perpaduan.

Perselisihan antara kaum kadang kala timbul akibat perbezaan budaya dan tradisi yang mereka amalkan.

Jadi, isu-isu sensitif bagi sesuatu kaum sewajarnya ditegah daripada diungkit oleh pihak yang lain.

Dalam surah al-Hujurat, ayat 11 telah menyebut, “Janganlah kamu mencela antara satu sama lain dan janganlah kamu memanggil dengan gelaran yang buruk.”

Hal ini demikian kerana perbuatan tersebut hanya akan menimbulkan benih-benih permusuhan.

Tegasnya, setiap kaum harus menerima hakikat bahawa nilai tolak ansur amat penting untuk menikmati keharmonian bersama dalam konteks negara majmuk.

Kesimpulannya, semua pihak perlu berkerjasama memainkan peranan masing-masing dalam usaha mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Bak kata pepatah, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.” Bagi sesebuah negara yang mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan berbeza agama seperti Malaysia, memang sukar untuk membina perpaduan yang benar-benar utuh.

Oleh itu, langkah-langkah ke arah itu perlu dilakukan secara berterusan dan bersungguh-sungguh oleh semua anggota masyarakatnya.

Dengan itu, perpaduan di negara dapat dibentuk dan rakyat dapat hidup denganaman dan sejahtera kerana perpaduan asas kesejahteraan.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Latiffah Binti Mohd (sutera penyu).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%