Suatu hari, para sahabat berkumpul dan bertanya, siapa yang mahu perdengarkan bacaan Al-Quran kepada orang-orang Quraisy sebab selama ni mereka tak pernah dengar.
Lalu, Abdullah Ibnu Mas’ud mencadangkan dirinya sendiri, tapi pada awalnya cadangan tu ditolak para sahabat sebab dia tak ada keluarga atau kaum yang boleh lindunginya kalau diapa-apakan oleh orang Quraisy.
Namun, dia tetap dengan pendiriannya dan beritahu bahawa Allah yang akan melindunginya.
Pada pagi hari waktu Dhuha, Abdullah Ibnu Mas’ud pergi ke maqam Ibrahim bersebelahan Kaabah, kemudian terus membaca:
“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya. Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran.” (Surah Ar-Rahmaan 55:2)
Orang-orang Quraisy yang ada di sekitar situ tertanya-tanya tentang apa yang dikatakan Abdullah Ibnu Mas’ud, lalu ada antara mereka yang beritahu bahawa itu ada bacaan ayat yang dibawa oleh Muhammad, iaitu Rasulullah.
Tanpa berdalih, mereka terus pergi ke arahnya dan pukul wajahnya, tetapi dia masih lagi terus membacanya. Selang beberapa ketika, setelah dipukul dia kembali semula kepada para sahabat dan ada bekas luka di wajahnya.
Para sahabat berkata itulah yang ditakuti akan terjadi kepada Abdullah Ibnu Mas’ud iaitu dipukul, tapi dia kata dengan penuh berani bahawa kalau nak dia kembali semula ke sana untuk membaca Al-Quran, dia tetap akan pergi. Namun, para sahabat menghalangnya.
Kesimpulannya, dia adalah orang pertama yang baca Al-Quran secara terang-terangan di Makkah, selepas Rasulullah. Tindakannya menunjukkan bahawa dia seorang yang sangat berani dan menyerahkan dirinya kepada Allah walaupun dia sedar bahawa tiada keluarga atau kaum yang akan melindunginya, tetapi dia yakin Allah pasti melindunginya.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr. Ali Muhammad As-Shallabi)