,

Orang Munafik Menarik Diri Pada Saat-Saat Akhir Sebelum Perang Ahzab

Pakatan yahudi bani Nadhir, Quraisy dan Ghathafan semakin memperketat pengepungan terhadap kaum Muslimin di Madinah setelah yahudi bani Quraizah bergabung dengan mereka, sehingga mula timbul perasaan gentar dalam kalangan kaum Muslimin dan diceritakan dalam surah Al-Ahzab ayat 10 hingga 11.

Golongan munafik pula mengambil kesempatan untuk menarik diri daripada pasukan kaum Muslimin dan pulang ke rumah, kononnya beralasan bahawa tidak ada yang menjaga keluarga mereka di rumah sedangkan di dalam hati mereka pengecut dan ingin membiarkan saja kaum Muslimin berjuang.

Salah seorang munafik iaitu Mu’attib bin Qusyair mengatakan: “Muhammad menjanjikan kepada kita untuk memakan harta simpanan Kisra dan Kaisar sementara salah seorang dari kita tidak aman atas keselamatan dirinya untuk boleh ke tempat pembuangan kotoran.”

Dalam surah Al-Ahzab ayat 13 hingga 20 juga menceritakan secara terperinci sikap golongan munafik yang menimbulkan keresahan jiwa, sifat pengecut dan tidak yakin pada Allah di saat ditimpa musibah.

Alasan golongan munafik untuk pulang ke rumah adalah sesuatu yang tidak boleh diterima, hakikatnya mereka hanya sekadar ingin lari daripada kematian. Bukan itu saja, malah mereka mendorong orang lain untuk turut meninggalkan medan perang dan kembali ke rumah.

Kaum musyrikin semakin dekat dengan tempat di mana adanya Rasulullah. Kaum Muslimin memerangi mereka pada suatu hari hingga malam, sehingga diceritakan pada waktu solat Asar, kaum musyrikin mendekati kaum Muslimin sehingga Baginda dan para sahabat tidak dapat mengerjakan solat.

Kata Baginda: “Semoga Allah memenuhi rumah-rumah dan kuburan-kuburan mereka dengan api neraka kerana mereka menyibukkan kami dari menunaikan solat wustha (Asar) hingga matahari terbenam.”

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)