Kisah ini mengisahkan seorang anak muda yang bertakwa kepada Allah di Damascus, ibu kota Syria.
Di zaman tabi’in dahulu, anak muda ini pernah datang ke sebuah masjid.
Namanya Masjid At-taubah. Terdapat seorang tabi’in yang masyhur di situ, menjadi imam dan tinggal di situ setiap hari.
Anak muda itu datang, lalu berkata: “wahai imam, saya datang dari luar Damascus, miskin tiada apa-apa, tapi saya mahu belajar agama, boleh tak saya menumpang tinggal di masjid bersama kamu?
"Saya akan membantu kamu untuk hidup bersama kamu dan makan minum bersama kamu."
Imam pun menjawab: “tiada masalah, silakan cuma harus bersabar mengikuti kehidupan harianku. Apa yang aku makan, kau mesti makan, apa yang aku minum, kau mesti minum.”
Anak muda: Baiklah.
Anak muda itu berkata, “ternyata selepas tiga bulan saya tinggal bersama syeikh saya, ternyata dia seorang yang sangat zuhud.
"Ada makanan, makan, dan ketika tidak ada makanan, puasa. Dan ini sudah tiga hari kami puasa."
"Sahur dan berbuka dengan sebutir kurma dan segelas air. Ini sudah hari ketiga, sheikh saya masih kuat tetapi saya sudah tidak kuat."
"Tidak kuatnya saya, saya membongkokkan punggung saya menekan perut saya supaya perasaan lapar saya hilang.”
Dalam keadaan begitu, syaitan datang menggoda fikirannya untuk mencuri makanan. Lalu, dia berfikir untuk mencuri makanan di rumah sebelah masjid.
Pada zaman dahulu, dinding masjid bukan seperti sekarang diperbuat daripada tembok, dahulu dinding masjid hanya diperbuat daripada tanah liat.
Oleh sebab hendak dikuatkan binaannya, batang kurma ditebang atas dan akarnya, dibuang tajamnya, ditampal dan dicantum menjadi sebuah dinding yang kuat.
Rumah orang dengan masjid dekat dindingnya.
Dari dinding masjid, anak muda ini naik untuk mencuri makanan.
Di rumah pertama, dia mahu masuk mencuri tetapi dia melihat ada tiga perempuan yang tidak menutup auratnya.
Lalu, dialihkan pandangannya, kerana dia tahu haram untuk dia melihat aurat bukan mahramnya dan itu bukan tujuannya, dia cuma ingin mencari makanan.
Dia beralih pula masuk ke rumah kedua, kerana menggunakan pelepah-pelepah kurma, jadi dia dapat melihat ke dalam rumah itu.
Kelihatannya tidak ada orang di rumah itu dan dia terbau masakan. Dia pun turun dan masuk ke dalam rumah tersebut.
Dia mendapati ada periuk dan ada terung yang direbus di dalamnya. Dia sangat lapar lalu mengambil sebiji terung dan menggigitnya.
Semasa dia mengunyah terung tersebut dan baru sahaja hendak menelannya, tiba-tiba terdetik di hatinya ketakwaan dan ketakutan kepada Allah.
Dia merasa syaitan berjaya menggodanya melakukan tiga dosa sekaligus, masuk ke rumah orang tanpa izin, mencuri terung, dan sedang memakan makanan yang haram.
Tidak mungkin Allah membuatkan saya kelaparan kerana meninggalkan sesuatu yang haram kerana Rasullullah SAW pernah bersabda, siapa yang meninggalkan sesuatu yang haram kerana Allah, Allah akan menggantikan yang lebih baik dari itu.
Lalu, dia pun melempar gumpalan terung di dalam mulutnya lalu kembali ke masjid.
Ketika di dalam pengajian, dia tidak dapat menangkap apa yang diajar di dalam pengajian kerana tersangat lapar.
Setelah selesai pengajian, gurunya duduk di kerusinya. Dia duduk di tiang. Terdapat seorang tua di belakang masjid.
Lalu, masuklah seorang tua bercakap bersama gurunya lalu gurunya mengalihkan pandangannya kepada anak muda itu.
Setelah itu, gurunya memanggilnya lalu bertanya, “adakah kamu sudah menikah?”
Anak muda: Belum.
Guru: Adakah kau ingin menikah?
Gurunya bertanya 3 kali dan tidak dijawab.
Anak muda: Wahai guruku, saya mengikutimu, apa yang kamu makan, saya makan, apa yang kamu minum saya minum, sekarang sudah tiga hari kita puasa dan saya sangat lapar. Kalau saya nikah, saya mahu beli makanan dari apa?
Guru: Perempuan ini suaminya baru meninggal semasa idah 4 bulan 10 hari dan dia ditinggalkan harta yang cukup, dia masih muda dan dia takut difitnah.
Dia ingin saya carikan jodohnya dan saya rasakan kamu calon yang sesuai.
Lalu, keduanya-duanya bersetuju untuk bernikah dan gurunya menyuruh dia pulang ke rumahnya. Jika mahu beribadah, boleh datang ke situ.
Semasa dalam perjalanan pulang bersama isterinya, dia masih malu-malu.
Setelah sampai di rumah kedua iaitu di rumah yang dicurinya tadi, isterinya berkata, “masuklah suamiku, ini rumah kita.”
Isterinya pergi ke dapur untuk menjamu suaminya makan lalu mendapati terungnya digigit. Lalu, suaminya pun menceritakan hal sebenar kepada isterinya.
Isterinya pun berkata ucapan yang sangat takjub:
Wahai suamiku,engkau meninggalkan segumpal makanan haram, Allah jadikan makanan itu, periuknya, rumahnya dan pemilik rumahnya menjadi milikmu sekarang.”
Berdasarkan kisah di atas, dapat diambil pelajaran bahawa pentingnya kita sebagai umat islam dari mengelak memakan benda yang haram.
Kita tidak akan rugi mentaati perintahNya dan bertaqwa kepadaNya, kerana Allah akan memberi ganjaran yang besar di sisiNya dan menunjukkan jalan keluar daripada sesuatu masalah.
Jika tidak dunia, di akhirat ganjarannya. Dalam situasi lelaki ini, Allah memberinya ganjaran yang besar di dunia dengan bukan hanya menghilangkan laparnya namun membalas lebih dari itu.
Rujukan:
Ammar TV, Kisah Sebuah Terong : Ustadz DR Khalid Basalamah MA
Lentera Islam, Kisah sebuah terong : Ustadz DR Khalid Basalamah, MA