,

Dari Menguji Menjadi Terpuji – Abdullah bin Salam

Ada dua situasi yang kita dapati berlaku hari ini sepertinya tidak berkesudahan.

Pertama, golongan Yahudi yang begitu memusuhi agama Islam dan umatnya dan golongan bukan Islam yang melontarkan soalan tentang Islam namun tidak sudi menerimanya.

Namun, terdapat seorang sahabat Nabi SAW telah membuktikan sebaliknya. 

Beliau ialah Abdullah bin Salam atau nama sebenarnya ialah al-Hushain

Apa yang menjadikan kisah beliau menarik ialah beliau seorang Yahudi dan juga memeluk Islam selepas mengajukan Nabi SAW soalan persoalan tentang Islam.

Jawapan yang Memuaskan

Abdullah bin Salam seorang yang rasional.

Beliau tidaklah memusuhi Nabi Muhammad SAW sebagaimana golongan Yahudi yang lain. 

Bahkan Ibnu Sa’d mengatakan bahawa beliau berasal daripada keturunan Nabi Yusuf bin Ya’qub AS.

Maka, boleh jadi ajaran Islam yang dibawa oleh Baginda lebih mudah untuk diterimanya.

Beliau bercerita saat pertama bertemu dengan Nabi Muhammad SAW ketika Baginda tiba di kota Madinah. 

Katanya: Tatkala Nabi SAW tiba di Madinah, orang ramai berkumpul mengelilingi Baginda.

Aku juga antara yang berada di situ. Tatkala aku melihatnya, aku tahu bahawa wajahnya bukanlah wajah seorang pendusta

Apa yang pertama kali aku dengar daripada Baginda adalah sabdanya: 

 Wahai manusia, sebarkan salam, berikanlah makanan, sambungkanlah silaturrahim dan solatlah pada waktu malam tatkala manusia sedang tidur. 

Maka, kamu semua akan masuk ke dalam syurga dengan sejahtera.”

Kisah pengislaman Abdullah bin Salam ini menarik untuk kita hayati.

Sebagai seorang yang berketurunan nabi Bani Israel, beliau telah mengajukan soalan kepada Nabi SAW.

 Ia bukan untuk bermain-main. Bahkan untuk mendapatkan jawapan yang memuaskannya.

Beliau berkata: “Sesungguhnya aku ingin ajukan tiga soalan kepadamu yang mana jawapannya hanya diketaui oleh seoang nabi.

Apakah tanda-tanda awal Hari Kiamat?

Apakah yang mula-mula dimakan oleh ahli syurga?

Dari manakah seseorang anak itu menyerupai ayah atau ibunya?

Maka, sebaik sahaja wahyu disampaikan oleh Malaikat Jibril, Baginda pun menjawab:

“Adapun tanda-tanda awal Hari Kiamat ialah api akan muncul dari timur. 

Lalu, ia akan menyebabkan manusia berkumpul di barat.

Adapun apa yang mula-mula dimakan oleh ahli syurga ialah cuping hati ikan.

Manakala berkenaan keserupaan seorang anak, apabila air lelaki lebih banyak, maka anak itu akan menyerupai bapanya.

Apabila air ibunya itu lebih banyak, maka anak itu akan menyerupai ibunya.

Mendengar jawapan itu, Abdullah bin Salam terus mengatakan: “Aku bersaksi bahawa engkau adalah Rasulullah!”

Bakal Penghuni Syurga

Rupa-rupanya terdapat riwayat yang menyatakan bahawa Abdullah bin Salam ini juga tergolong dalam kalangan sepuluh orang yang dijanjikan syurga oleh Rasulullah SAW! 

Barangkali kita jarang mendengar tentangnya.

Suatu ketika, Rasulullah SAW diberikan semangkuk Tharid.

Lalu Baginda pun memakannya. Setelah itu, makanan tersebut masih berbaki. 

Lalu, Baginda bersabda: “Sekejap lagi akan ada seseorang yang merupakan ahli syurga akan datang ke sini dan memakan baki makanan ini.”

Namun, yang datang rupa-rupanya Abdullah bin Salam. Lalu beliau pun memakannya. (Riwayat Ahmad)

Imam al-Bukhari pula meriwayatkan di dalam Kitab Tarikhnya yang menyebutkan bahawa tatkala Mu’az bin Jabal sedang nazak, orang yang berada di sekelilingnya berkata:

“Berikanlah kepada kami suatu wasiat wahai Abu Abdul Rahman.” Lalu Mu’az pun berkata:

Kamu semua tuntutlah ilmu daripada Abu Darda’, Salman, Ibnu Mas’ud dan Abdullah bin Salam yang telah memeluk Islam itu.

Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Dia (Abdullah bin Salam) merupakan salah seorang daripada 10 orang yang dijanjikan syurga.”

Islam untuk Semua 

Begitulah secebis kisah berkenaan seorang sahabat Nabi SAW yang berbangsa Yahudi iaitu Abdullah bin Salam.

Namun, beliau tidaklah boleh dibandingkan dengan Yahudi hari ini yang kebanyakannya sudah menganut fahaman Zionisme. 

Jikalau mahu dibandingkan, bolehlah jika dibandingkan dengan orang-orang Yahudi di zamannya seperti Bani Quraziah dan Bani Qaunuqa’.

Mereka semua memusuhi Islam dan Nabi Muhammad. Namun, tidak Abdullah bin Salam ini.

Jikalau sebab permusuhan golongan Yahudi di zaman Rasulullah SAW itu adalah disebabkan oleh ramalan mereka tentang nabi terakhir yang diutuskan adalah daripada kaum mereka, maka tidak juga bagi Abdullah bin Salam. 

 Cukup hanya dengan tiga soalan yang diajukan kepada Baginda, setelah mendapatkan jawapannya, beliau terus memeluk Islam.

 Islam tidak seperti agama Yahudi dan Nasrani yang sebelum ini diturunkan untuk umat atau bangsa-bangsa tertentu.

Namun, Islam diturunkan untuk seluruh umat manusia akhir zaman memandangkan tiada lagi nabi dan rasul selepas Baginda SAW.

Rujukan:

Siyar A’lam al-Nubala’ : Imam al-Dzahabi.