- Makanan sedikit yang dimasak isteri Jabir bin Abdullah r.a. cukup untuk kaum Muslimin.
Jabir bin Abdullah meminta izin untuk pulang ke rumah dan berhajat untuk memberi makanan kepada Rasulullah. Lalu, dia meminta isterinya memasak makanan yang ada di rumah, iaitu gandum dan disembelih anak kambing betina.
Setelah siap masak, maka Jabir mengajak Rasulullah ke rumahnya bersama satu atau dua orang lain. Baginda memberitahu Jabir supaya berpesan kepada isterinya agar tungku tidak diangkat dan roti tidak dipindahkan dari perapian sehingga Baginda tiba.
Maka, Rasulullah mengajak sahabat-sahabat semua ke rumah Jabir sehingga menyebabkan Jabir dan isterinya berasa khuatir jika makanan tidak cukup.
Namun, dengan mukjizat Rasullah, makanan yang disediakan itu tidak habis dan cukup untuk membuatkan semua sahabat yang hadir kenyang, malah masih ada lebihan!
2. Kurma yang dibawa anak kepada Basyir bin Sa’ad menjadi semakin banyak.
Umarah bin Rawahah iaitu isteri kepada Basyir bin Sa’ad meminta anak perempuannya untuk memberikan kurma sepenuh tapak tangan untuk diberikan kepada Basyir iaitu ayahnya dan Abdullah iaitu pak ciknya.
Ketika anak perempuan itu melintasi Rasulullah, Baginda memanggilnya dan meminta untuk diberikan kepadanya. Setelah itu, Rasulullah meminta agar dibentangkan kain lalu kurma-kurma itu diletakkan di atas kain.
Para sahabat berkumpul di situ dan memakan kurma, dengan mukjizat Rasulullah maka kurma menjadi semakin banyak dan muncul dari hujung-hujung kain.
3. Rasulullah memecahkan bongkahan batu besar dengan tiga pukulan saja.
Para sahabat terjumpa bongkahan besar ketika menggali parit, lalu Rasulullah memukul sebanyak tiga kali saja lalu pecah berkeping-keping!
Pada pukulan pertama, Baginda mengucapkan: “Allahuakbar, aku diberi kunci-kunci Syam, sungguh aku melihat istana-istana merahnya ketika ini.”
Pada pukulan kedua, Baginda mengucapkan: “Allahuakbar, aku diberi kunci-kunci Persia, demi Allah aku lihat istana putih Madain.”
Pada pukulan ketiga, Baginda mengucapkan: “Allahuakbar, aku diberi kunci-kunci Yaman, sungguh aku melihat pintu-pintu Shan’a di tempatku ketika ini.”
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)